Dodol tradisi mengerat silaturahim

Selera Hanita Hassan 26-Mei-2020
Tolong hulurkan dodol! © Hafiza Samsuddin | Dreamstime.com

Hari Raya Aidilfitri tidak lengkap tanpa hidangan manisan tradisi kegemaran ramai iaitu dodol.  Bagi yang tidak begitu kenal akan manisan yang dipanggil comel sebagai dodol, ia seperti toffee, melekit dan manis, dibuat daripada santan, gula kabung atau gula Melaka dan tepung beras.

Penyediaan dodol mengambil masa yang panjang. Biasanya dodol dikacau beberapa hari sebelum hari raya atau pada petang hari raya ketika kaum keluarga sudah berkumpul di kampung.  Anda perlu mengacaunya dalam tempoh masa yang lama di dalam kawah.

Hari ini, dengan terciptanya teknologi pembuatan dodol, ia boleh dibuat dalam waktu yang lebih singkat dan boleh didapati dalam pelbagai perisa seperti durian dan cokelat.

Bahan dalam dodol iaitu santan atau minyak kelapa mengandungi asid laurik dan asid miristik. Kedua-dua asid ini adalah kumpulan asid lemak rantaian sederhana yang lebih cepat dimetabolismekan dalam hati manusia dan boleh menurunkan paras kolesterol.

Bahan dalam santan ini juga mempunyai  kesan positif lain iaitu bersifat antikeradangan, antifungal, antivirus, antimikrobial dan antiprotozoal selain menjadi sebahagian diet sihat jika diambil secara sederhana.

Kajian yang dibuat melalui Philippines National Nutrition Survey tahun 2003 berdasarkan kes terhadap penduduk di Daerah Bicol, Filipina.  Pengambilan dua bahan ini dalam makanan seharian menyebabkan mereka tidak menghadapi masalah kolesterol berlebihan (hypercholesterolemia), darah tinggi, angin ahmar dan sakit jantung (angina).

Kajian yang sama turut dilakukan oleh Universiti Putra Malaysia (PUTRA) terhadap kebaikan minyak kelapa dara yang dihasilkan oleh pihak Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan ia menunjukkan keputusan yang positif.

Minyak yang berasal daripada kelapa tidak menyebabkan peningkatan paras kolesterol jahat, malah menambah paras kolesterol baik sekali gus membuktikan kenapa masyarakat dahulu yang makan dodol tidak menghadapi masalah kesihatan.

Setiap tahun ada sahaja acara kacau dodol dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada di kampung, taman perumahan, pusat beli-belah atau dewan orang ramai dengan tujuan untuk diagih-agih sempena kehadiran hari raya Aidilfitri.

Paling mengujakan apabila aktiviti gotong-royong mengacau dodol turut disertai kaum India dan Cina setempat.  Ia sekali gus memperlihatkan muhibbah kaum yang baik yang terbentuk dalam kita melakukan kebaikan.

Proses penyediaan dodol yang agak lama ini memerlukan kesabaran yang tinggi.  Ia perlu digerakkan dalam satu kumpulan supaya dapat bergilir-gilir  semasa mengacaunya.  Semakin pekat dodol, semakin sukar untuk dikacau.

Bagi penyediaan dodol, anda perlu menyediakan semua bahan yang diperlukan.  Kemudian masukkan santan, tepung pulut dan tepung beras ke dalam kawah.  Kacau perlahan dan terus mengacau sehingga dodol pekat.  Masukkan gula kabung atau gula Melaka ke dalam kawah.

Masyarakat Melayu di Malaysia menganggap dodol bukan sahaja makanan warisan, tetapi juga sebagai pengerat  silaturahim.  Jika dilakukan dalam kalangan adik-beradik, masa yang panjang itu boleh digunakan untuk bersembang dan bertanya khabar bagi yang sudah lama tidak bertemu.  Suasana mesra ini sangat digalakkan dalam Islam terutama dalam menghidupkan malam raya dan kegembiraan menyambut hari raya.