Doktor Islam pertama, Rufaidah al-Aslamiyah r.a

Kepercayaan Zalina Majid 29-Jul-2020
Rufaidah r.a, doktor Islam pertama © Golfmhee | Dreamstime.com

Dalam sejarah Islam yang panjang, telah lahir tokoh-tokoh perintis yang diingati dan di sebut-sebut kisahnya. Antaranya ialah Rufaidah binti Sa’ad al-Ansariyah r.a. Rufaidah merupakan jururawat pertama dan pakar bedah Islam. Beliau adalah insan pertama yang melakukan pembedahan terperinci. Rufaidah binti Sa’ad al-Ansariyah juga merupakan pemilik kepada hospital bergerak pertama yang merawat kecederaan dan membuat pembedahan utama. Wanita hebat ini pernah bersama tentera Islam ketika di dalam peperangan dan penjajahan.

Rufaidah binti Sa’ad al-Ansariyah r.a, atau lebih dikenali sebagai Rufaidah al-Aslamiyah, berasal dari Bani Aslam. Sejarah peradaban Islam mencatat nama yang penuh barakah ini dengan tinta emas. Rufaidah berhijrah ke Madinah dan menyertai para sahabat dalam serangan Al-Khandaq dan Khaybar. Allah SWT mengurniakannya sebagai seorang yang berharta, bermotivasi dalam berbuat kebaikan. Bahkan, beliau juga memberi rawatan dan mengubat pesakit secara percuma. Seorang yang pandai membaca dan menulis serta memberi bantuan kepada orang Islam.

Rufaidah r.a telah berbuat janji setia kepada Baginda SAW selepas berhijrah dan memeluk Islam. Pada awalnya, beliau mendirikan khemah di Masjid Nabawi. Di situlah beliau menolong dan mengubati mereka yang sakit dan cedera. Antara sahabat yang pernah dirawati ialah Sa’ad bin Muaz r.a. Tugas merawat adalah perkara yang paling disukai sehingga beliau amat dikenali di kalangan suku Arab.

Rufaidah r.a melaksanakan tugasnya bermula di pertempuran Uhud. Beliau membantu pesakit, merawat luka dan memastikan keselesaan pejuang Islam. Namun, dirinya tidak pernah lelah dan bosan memberi bantuan. Ketika peperangan demi peperangan berlaku, Rufaidah akan membawa khemah bersama alatan dan bahan ubatan yang yang diperlukan. Kesemua keperluan akan di bawa di belakang tunggangan unta. Manakala khemah rawatannya didirikan berdekatan kem tentera Islam.

Ramai sahabiyyah hebat yang sama-sama berkorban membantu tugas sukar ini. Kerana itu, Rufaidah r.a adalah insan pertama membina hospital bergerak dikenali sebagai Rumah Sakit Rufaidah. Dia juga melatih sekumpulan jururawat dengan membahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut keperluan dan mewujudkan penggiliran waktu rawatan malam dan siang.

Rufaidah r.a bukan hanya bekerja di medan peperangan, malah ketika suasana aman. Justeru, dia adalah orang pertama bekerja untuk Islam yang seumpama di hospital atau klinik hari ini. Bahkan, Rufaidah binti Sa’ad juga dinobatkan sebagai jururawat dan doktor pertama di dalam dunia Islam.

Terdapat riwayat dalam hadis sahih mengenai Rufaidah r.a merawat Sa’ad bin Muaz r.a. Diriwayatkan dari Aisyah r.a berkata: “Sa’ad bin Muaz mengalami kecederaaan ketika perang Khandak dengan busur yang dipanah oleh Abu Usamah Al-Jashmi, sekutu Bani Makhzum. Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan Rufaidah mendirikan khemah di masjid agar memudahkan Baginda SAW menjenguknya.”

Ibnu Ishaq r.a dalam riwayatnya menuturkan perkara yang hampir sama, dia menyebut bahawa Nabi SAW bersabda tentang kecedaraan Saad bin Muaz r.a: “Bawalah dia ke khemah Rufaidah dan aku akan menjenguknya nanti.”

Rufaidah r.a adalah tokoh doktor Islam yang solehah. Menyantuni Islam dan orang Muslim. Melatih dan mengajar jururawat wanita yang bekerja bersamanya. Menjadi contoh teladan kepada anak-anak perempuan dan wanita untuk berkhidmat di jalan Allah SWT. Beliau mendedikasikan hidupnya untuk memberikan sentuhan kemanusiaan dan rawatan bagi mereka yang memerlukan. Semoga Allah memberikan sebaik-baik ganjaran buat Rufaidah al-Aslamiyah.