Double standard – pilih kasih menambah jurang antara kaya dan miskin

Masyarakat 07 Apr 2021 Tari Basir
Tari Basir
Double standard - pilih kasih menambah jurang antara kaya dan miskin
Double standard - pilih kasih menambah jurang antara kaya dan miskin © Mansor Mat Isa | Dreamstime.com

Kehidupan manusia sentiasa akan dipenuhi dengan antonim, kerana sifatnya yang mengimbangi dunia agar tidak berat sebelah. Sebagaimana malam yang silih berganti dengan siang, begitu juga kehadiran orang kaya dan miskin di seantero dunia.

Walaubagaimanapun, sifat antonim hanyalah berlawanan antara satu sama lain. Seperti kaya lawannya ialah miskin. Berlawanan kerana mahukan dunia menjadi seimbang neracanya dan tidak berat sebelah.

Pilih kasih menambah jurang antara kaya dan miskin

Namun, sentiasa akan ada perkara yang menyebabkan neraca dunia tidak seimbang hingga merosakkan sifat antonim yang sebenar.

Islam hadir merapatkan jurang antara kaya dan miskin

Kehadiran kapitalism ciptaan Barat menjadikan orang kaya semakin kaya, dan orang miskin semakin miskin. Malahan, kemasukan riba dalam muamalah jual beli hanya menabur garam kemiskinan ke atas luka orang miskin.

Apabila Islam hadir, kapitalism dan riba dihapuskan melalui ancaman Allah terhadap penindasan, malah memperkenalkan sedekah dan zakat sebagai rahmat dan penyatuan kepada kedua-dua belah pihak.

Dengan sedekah dan zakat, orang kaya mampu membersihkan hartanya dan meraih pahala dengan membantu orang miskin. Sedangkan orang miskin pula dapat dibantu, dan menghilangkan sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.

Double standard, kembali mencipta jurang yang telah tercantum

Hakikatnya, wujud perkara yang mencipta jurang setelah bercantumnya orang kaya dan miskin. Malahan, perkara tersebut mampu mencipta jurang yang lebih besar antara dua golongan tersebut, kerana ia turut dimasukkan dalam unsur keagamaan seperti urusan kehakiman dan perundangan Islam.

Pilih kasih atau double standard, atau sifat berat sebelah bukanlah perkara baharu yang berlaku dalam masyarakat sekarang. Ia telah pun berlaku semenjak zaman para anbiya’ lagi, dan sering kali dicampurkan sebagai bahan asing dalam urusan undang-undang manusia.

Apabila seseorang yang memiliki pangkat dan harta melakukan kesalahan atau jenayah, dirinya sering kali terlepas daripada dihukum atau dipandang ringan jenayahnya oleh pihak berautoriti. Namun, jika seseorang yang tidak berpangkat apatah lagi berharta melakukan kesalahan atau jenayah, dirinya terus sahaja dijatuhi hukuman tanpa bertangguh.

Double standard ini turut menimpa perundangan Islam dan direkodkan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi r.a, iaitu:

“Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika rakyat bawahan mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.”

Pihak berautoriti perlu menjauhi pilih kasih

Majoriti negara di dunia mengenakan hukuman yang ketat terhadap perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) bersempena penularan virus COVID-19 ini. Larangan tersebut antaranya merentas negara atau negeri dan tidak memakai topeng pelitup muka.

Sehingga hari ini, ramai daripada rakyat bawahan telah pun dikenakan hukuman atas kelalaian mereka terhadap SOP yang diwartakan. Hukuman tersebut dikenakan segera tanpa ada kompromi dan budi bicara daripada pihak berautoriti.

Namun malangnya, apabila golongan berpangkat dan berharta sendiri yang melanggar SOP, mereka tidak dikenakan hukuman yang segera. Malahan ada pula kompromi dan budi bicara, tidak seperti rakyat bawahan.

Maka kerana itulah, pihak berautoriti perlu tegas dan menjauhi pilih kasih atau double standard dalam menghukum. Jangan sesekali melupakan ancaman Allah Taala seperti dalam hadis Nabi Muhammad SAW itu tadi.

Double standard hanya akan terus-menerus mencipta jurang antara orang kaya dan miskin, sehingga akhirnya jauh dan tidak lagi menjadi antonim. Lalu akhirnya menjadi musuh yang saling membinasakan.