Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Dr. Afifi al-Akiti – Pensyarah Melayu Ulung Universiti Oxford

Dunia MAS 26-Jan-2020
Dr. Afifi al-Akiti
Dr. Afifi al-Akiti By Tariq.chow - Own work, Public Domain, Link

Universiti Oxford merupakan antara nama besar dalam dunia akademik. Saban tahun, universiti yang ditubuhkan sejak abad ke-10 itu sentiasa menempah kedudukan 10 teratas dalam ranking universiti terbaik dunia. Tidak hairanlah jika permohonan untuk melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan adalah sangat sengit dan kejayaan menamatkan pengajian di sana sudah tentulah amat membanggakan.

Bagaimana pula jika menerima tawaran untuk menjadi tenaga pengajar di universiti ternama tersebut? Demikianlah pengiktirafan kepada Dato’ Dr. Afifi al-Akiti selepas beliau bergelar sebagai pensyarah Pengajian Islam di Fakulti Teologi dan felo Worcester College, Universiti Oxford ketika baru berusia 32 tahun. Dr. Afifi merupakan rakyat Malaysia dan orang Melayu pertama yang diberikan pengiktirafan atas kesarjanaan tinggi tersebut. Penghormatan tersebut adalah berdasarkan pengalaman luas serta pengetahuan mendalam beliau dalam bidang pengajian Islam.

Dr. Afifi dilahirkan di Batu Gajah, Perak pada tahun 1976 dan menerima pendidikan awal di beberapa sekolah di Selangor. Pada usia seawal belasan tahun beliau telah menyambung pengajian di beberapa pondok dan madrasah di Indonesia, Maghribi dan Syria. Dengan berbekalkan ijazah bersanad yang diterima, beliau kemudiannya dilantik menjadi imam di Belfast, Ireland Utara.

Di Belfast, Dr. Afifi menuntut di Queen’s University of Belfast dan berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Scholastik dan Sejarah Sains. Beliau kemudiannya menerima biasiswa Clarendon untuk melanjutkan pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah di Universiti Oxford. Beliau berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam Pemikiran Arab Zaman Pertengahan (medieval) pada tahun 2008. Tesis beliau mengenal pasti dan mempertimbangkan secara sistematik penulisan falsafah yang dikenali sebagai korpus Madnun hasil karya Imam al-Ghazali. Tesis beliau dihasilkan berdasarkan kepada kajian terperinci hampir 50 manuskrip Arab Zaman Pertengahan.

Dr. Afifi mula mendapat perhatian dunia selepas mengeluarkan sebuah fatwa pada tahun 2005. Pada tahun berkenaan, dunia dikejutkan dengan peristiwa serangan pengeboman yang menyasarkan pengguna sistem pengangkutan awam di kota London. Serangan pengganas yang melibatkan sistem tren dan bas tersebut mengorbankan seramai 52 orang mangsa. Susulan tragedi tersebut, beliau telah mengeluarkan fatwa menyelar serangan terbabit dan menyangkal justifikasi yang cuba diberikan di atas perbuatan ekstremis tersebut.

Fatwa beliau yang bertajuk ‘Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians’ itu mengecam pembunuhan orang awam dan menjelaskan serangan bunuh diri atas sebarang alasan sebagai tidak dapat dipertahankan. Dr Afifi berhujah bahawa tiada duluan undang-undang (no legal precedent) ) dalam sejarah Sunni Islam yang merakamkan taktik menyerang orang awam dan sasaran bukan ketenteraan. Beliau juga menegaskan keputusan untuk mengisytiharkan perang atau jihad bagi umat Islam hanya terletak kepada kerajaan negara masing-masing dan bukannya pada mana-mana individu meskipun seorang ulama atau tentera.

Hujah terakhir Dr. Afifi merujuk kepada kaedah serangan yang melibatkan pengebom berani mati (suicide bomber). Beliau menekankan bahawa perbuatan tersebut sebagai dosa terkutuk kerana di dalam Al-Quran sendiri terdapat perintah melarang perbuatan membunuh diri. Fatwa beliau yang jelas dan bersandarkan bukti-bukti Shariah diterima di peringkat global serta menjadi rujukan pelbagai pihak.

Sebagai pengiktirafan atas pencapaian hebat beliau, Dr. Afifi telah dianugerahkan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) pada 2011. Beliau juga merupakan penerima Darjah Dato’ Paduka Cura Si-Manja Kini (DPCM) daripada Sultan Perak pada tahun 2012 yang membawa gelaran Dato’. Pada tahun 2018, Dr. Afifi dimasyhurkan sebagai pembesar negeri Perak dan dianugerahkan gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Perak. Dengan menyandang gelaran tersebut, Dr. Afifi turut bertanggungjawab sebagai penasihat rasmi kepada Sultan Nazrin Shah dalam perkara melibatkan Islam.

Pada peringkat kebangsaan, Dr. Afifi turut dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2017. Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam peringkat persekutuan oleh Majlis Raja-Raja pada 2018. Lebih membanggakan, sejak tahun 2010 beliau disenaraikan sebagai 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia dalam penerbitan tahunan The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims oleh Pusat Kajian Strategik Islam Diraja, Amman, Jordan.

Sebagai  pakar dalam bidang teologi Islam, falsafah dan sains, Dr. Afifi telah menerbitkan karya berjudul ‘New Conversations in Islamic and Christian Political Thought’ pada 2016. Beliau juga sedang dalam proses menyiapkan projek buku beliau mengenai karya Imam al-Ghazali berjudul ‘Al-Ghazali’s Madnun: An Introduction to His Philosophical and Scientific Corpus, with the Text of the Major Madnun’

Sebagai ulama yang terlatih dalam disiplin ilmu Islam dan juga Barat, Dr. Afifi merupakan golongan cendekiawan yang sangat jarang ditemukan pada masa kini. Beliau turut berkongsi rahsia pencapaian beliau iaitu pengorbanan, kerja keras dan usaha gigih untuk berjaya disamping sokongan daripada keluarga. Dr. Afifi turut berpendapat pencapaian tinggi umat Islam di dunia akan menjadi teladan serta mampu menyebarkan nilai-nilai kebaikan sejagat yang dapat dicontohi peradaban yang lain.