Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Dr. Amani Wan Salim – Saintis wanita Malaysia dalam NASA

Dunia MAS 03-Feb-2020
© Tawatchai Prakobkit | Dreamstime.com

Sejak kejayaan misi angkasawan Neil Armstrong dan Edwin Aldrin menjejakkan kaki ke bulan, penerokaan angkasa lepas telah memberi inspirasi kepada manusia sejagat. Dewasa ini juga, kita berpeluang menonton filem seperti Interstellar dan The Martian yang memperluaskan lagi jangkauan imaginasi tentang angkasa lepas.

Dalam misi Apollo dan juga filem-filem hebat tersebut, organisasi yang memainkan peranan utama dalam menjayakan misi terbabit adalah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA). Peluang untuk menjalankan projek penyelidikan bersama agensi angkasa lepas terkemuka ini sudah tentunya menjadi impian ramai jurutera dan saintis. Perkara ini adalah telah pun benar-benar berlaku kepada Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim, saintis Malaysia yang berasal dari Pulau Pinang.

Selepas menamatkan persekolahan peringkat menengah, Dr. Amani menerima biasiswa penuh daripada kerajaan Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Beliau berjaya menamatkan pengajian pada peringkat sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari University of Minnesota, Amerika Syarikat. Beliau kemudiannya menamatkan pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Bio-perubatan di Purdue University pada 2009, diikuti program pasca doktoral di universiti berkenaan.

Ketika berada di Purdue University inilah Dr. Amani terlibat dalam projek bersama NASA. Projek dikenali sebagai SporeSat ini telah dibangunkan melalui usaha sama di antara Pusat Penyelidikan Ames NASA dan Jabatan Pertanian dan Kejuruteraan Biologi Universiti Purdue. Projek tersebut bertujuan untuk menyelidiki mekanisme graviti pada sel tumbuhan melalui pelancaran kapal angkasa ke orbit. Dalam projek ini Dr. Amani bertugas sebagai Penyelidik Utama (Principal Investigator) dan berperanan untuk mereka bentuk, menghasilkan dan menguji sensor terlibat. SporeSat telah berjaya dilancarkan menerusi SpaceX-3 pada April 2014.

Setelah belajar dan bekerja selama kira-kira 17 tahun di Amerika Syarikat, Dr. Amani membuat keputusan untuk kembali ke tanah air pada 2014. Beliau kini bertugas sebagai Penolong Profesor di Jabatan Bioteknologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sekembalinya beliau ke Malaysia, beliau turut menyertai pasukan bantuan ke kawasan yang terjejas akibat banjir besar di Kuala Krai, Kelantan juga pada 2014. Pengalaman tersebut memberi inspirasi kepada Dr. Amani untuk menghasilkan kaedah baru untuk menilai kualiti air minuman. Ini berikutan sistem penapisan air di kawasan luar bandar sering mengalami risiko pencemaran ketika banjir di samping tidak memiliki sistem pemantauan yang berkesan.

Dengan kepakaran beliau dalam bidang sensor-bio dan sistem bio-mikro-elektro-mekanikal, Dr. Amani sedang giat membangunkan biosensor mudah alih yang dapat mengesan pencemaran air. Peranti ini terdiri daripada lapisan pengecaman yang mengandungi antibodi yang dihasilkan untuk menentang patogen berbahaya seperti E.coli. Penyelidikan beliau penting terutamanya dalam persiapan menghadapi bencana seperti banjir yang kerap berlaku di Malaysia. Kebolehan untuk mengesan patogen berbahaya adalah kritikal untuk mengelakkan pandemik daripada terjadi. Ketika ini, peralatan yang digunakan untuk menguji pencemaran air ini adalah mahal, besar dan tidak praktikal untuk di bawa ke kawasan bencana bagi mendapatkan keputusan segera.

Pada tahun 2012, Dr. Amani telah menerima Anugerah Penyelidik Muda Thora Halsted. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada saintis muda yang mencontohi dedikasi dan semangat Dr. Thora Halstead dalam sains serta menyumbang dalam bidang kajian graviti dan angkasa. Beliau menerima anugerah tersebut atas penyelidikan beliau dalam sistem makmal-pada-cip sel-elektrofisiologi. Projek multi-disiplin tersebut merupakan gabungan bidang biologi dan fizik cecair.

Dr. Amani juga merupakan penerima Anugerah Felo L’oréal-UNESCO untuk Wanita Dalam Sains pada 2015. Anugerah berprestij tersebut bertujuan untuk mengiktiraf dan menyokong saintis muda wanita dalam memantapkan kerjaya mereka. Dengan pengiktirafan tersebut, Dr. Amani merupakan salah seorang daripada 35 saintis wanita cemerlang dari seluruh negara yang menerima anugerah tersebut sejak 10 tahun yang lalu.

Mengulas tentang pencapaian beliau setakat ini, Dr. Amani berkongsi pengalaman beliau yang sanggup bekerja secara sukarela di makmal profesor beliau. Tugasan yang diberikan pada mulanya merupakan kerja-kerja remeh seperti mencuci kanta mikroskop yang dipandang sebagai kerja kuli yang enggan dilakukan ramai pelajar. Namun bagi beliau, kesungguhan dalam melaksanakan segala tugasan yang diberikan itu telah yang membuka kepada peluang-peluang lain yang lebih besar dan mencabar.

Dr. Amani turut menyifatkan semangat dan minat ke atas bidang sains sebagai kriteria utama untuk beliau gigih berusaha dan meneruskan perjalanan kerjaya meskipun menerima pelbagai rintangan dan cabaran. Untuk mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan pula, Dr. Amani menyifatkan saintis Malaysia perlu bersedia dari segi mental dan juga cara kerja yang bertepatan. Bagi beliau, kegagalan mendapatkan keputusan yang diharapkan merupakan lumrah dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, justeru itu penyelidik haruslah memiliki semangat tidak mudah menyerah dan daya tahan yang tinggi.

Dr. Amani juga menasihatkan penyelidik muda yang ingin berjaya untuk mengejar minat masing-masing dan menanam keyakinan atas kebolehan diri. Halangan pasti akan menanti tetapi seorang itu mesti percaya akan kemampuan diri untuk mengatasinya. Beliau juga memberi saranan agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri sendiri dan cuba mengenal pasti idola yang dapat membimbing dan memberi inspirasi dalam kerjaya.