Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Dr. Jemilah Mahmood – Pengasas MERCY Malaysia

Dunia MAS 26-Jan-2020
Dr. Jemilah Mahmood
Dr. Jemilah Mahmood By Nny84 - Own work, CC BY-SA 4.0, Link

Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood merupakan satu nama yang tidak asing di kalangan rakyat Malaysia atas sumbangan beliau dalam misi kemanusiaan di seluruh dunia. Kegigihan beliau dalam membantu mangsa peperangan, bencana alam dan kebuluran telah memberi impak yang besar kepada negara. Misi beliau di Kosovo, Iran, Iraq, Palestin, Sudan, Afghanistan, Pakistan, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia telah memberi inspirasi kepada masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan dalam skala besar melalui persatuan bantuan perubatan yang ditubuhkannya, MERCY Malaysia (MERCY berasal daripada kata gembleng Medical Relief Society).

Sebelum menceburkan diri dalam aktiviti kemanusiaan, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi itu memiliki kehidupan tipikal seperti kebanyakan orang. Namun semuanya berubah selepas menonton berita tentang perang di Kosovo bersama anak beliau. Ketika memberitahu keadaan kanak-kanak di sana yang menderita kelaparan, anak beliau yang berumur lima tahun ketika itu mendesak beliau untuk berbuat sesuatu. Terkesan dengan desakan tersebut, beliau cuba menghubungi beberapa organisasi tempatan untuk menawarkan perkhidmatan, namun tidak mendapat maklum balas.

Suami beliau, Dr. Ashar Abdullah kemudiannya menasihatkan beliau untuk menubuhkan sebuah organisasi khas untuk tujuan berkenaan. Dorongan tersebut menjurus kepada penubuhan Mercy Malaysia untuk benar-benar membawa perubahan seperti yang diharapkan. Pasukan Mercy telah tiba di Kosovo pada bulan Jun 1999 dengan sumbangan daripada pesakit dan rakan-rakan di Malaysia.

Pasukan perubatan Mercy juga merupakan pasukan bantuan yang mula-mula tiba di Acheh, Indonesia pada bulan Disember 2004, selepas bencana tsunami. Mercy Malaysia mula menerima publisiti meluas apabila liputan berita yang dibuat oleh Cable News Network (CNN) merakamkan Dr. Jemilah bersama pasukannya berada di tengah-tengah serpihan dan kemusnahan. Kesan liputan berkenaan, sumbangan dan tawaran bantuan mula mencurah masuk.

Dr. Jemilah telah menerima Anugerah Merdeka 2015 dalam kategori Pendidikan dan Komuniti atas sumbangan sebagai pengasas Mercy Malaysia serta peranan sebagai penggerak operasi sukarelawan di dalam dan luar negara. Sumbangan beliau juga menerima pengiktirafan serantau apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah ASEAN 2019. Pemilihan dibuat berdasarkan sumbangan beliau dalam bantuan kemanusiaan serta pengurusan bencana di Asia Tenggara. Selain itu, Dr. Jemilah juga terpilih sebagai penerima pertama Anugerah Isa dari kerajaan Bahrain pada 2013.

Misi kemanusiaan beliau tidak terlepas daripada bahaya. Pada tahun 2003, konvoi beliau yang membawa bekalan perubatan ke hospital kanak-kanak diserang di Iraq. Pemandu konvoi dan ahli farmasi pasukan tersebut telah terbunuh. Dua orang doktor juga cedera parah dalam serangan ke atas ambulans terbabit. Seorang dari dua doktor berkenaan, Dr. Baba telah ditembak dan peluru berkenaan telah menembusi sebuah buku sebelum hinggap di pinggul kiri Dr. Jemilah.

Tragedi tersebut membuatkan Dr. Jemilah menangis dan mula mempersoalkan keputusan untuk membawa pasukan Mercy ke zon berbahaya. Kesedihannya tidak lama akibat kehadiran seorang wanita yang memerlukan pembedahan caesarean. Dengan peluru yang masih terbenam di bahagian pinggul, Dr. Jemilah melakukan pembedahan tersebut dengan pinggulnya yang disokong oleh sebuah kotak. Pembedahan itu berjaya dan wanita berkenaan selamat melahirkan seorang bayi lelaki yang sihat.

Enam jam kemudian, wanita itu berkeras untuk pulang dengan bayi yang baru dilahirkan. Ketika ditanya, jawapan wanita itu membuatkan Dr. Jemilah merasakan diri beliau begitu kerdil. “Jika bom gugur di rumah saya malam ini, saya mahu bersama anak-anak saya,” kata wanita itu.

Menurut beliau, wanita berkenaan dan sukarelawan yang cedera dan terbunuh pada hari itu, dan hari- hari seterusnya merupakan hero sebenar. Beliau bertekad kemudiannya untuk tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Satu aspek yang membezakan pendekatan Dr. Jemilah adalah beliau sering melibatkan masyarakat dan organisasi setempat dalam operasi beliau. Menurut beliau, maruah seseorang adalah sangat penting apatah lagi maruah mereka yang terjejas akibat krisis. Contohnya, ketika krisis di Darfur, Sudan, beliau meminta nasihat imam tempatan berhampiran tempat tinggalnya tentang laluan untuk melarikan diri jika berlaku kecemasan. Beliau menawarkan bantuan Mercy untuk menyelamatkan nyawa mangsa dan masyarakat tempatan menawarkan perkara yang sama dari segi perlindungan keselamatan.

Dr. Jemilah telah meninggalkan Mercy Malaysia sebagai sebuah organisasi bebas yang memiliki tadbir urus yang kukuh pada 2009. Beliau kemudiannya berkhidmat di beberapa organisasi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha di Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) semenjak Januari 2016. Organisasi berkenaan berfungsi melaksanakan operasi membantu mangsa bencana. Beliau mengetuai lebih daripada 190 pertubuhan kebangsaan dengan 17 juta sukarelawan.