Dr. Lim Swee Tin – Sasterawan Melayu berketurunan Cina

Budaya Chan Abdullah 28-Jul-2020
Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin © facebook.com/lim.s.tin.7

Penulis sudah mengikuti perkembangan Prof Madya Dr. Lim Swee Tin sejak di bangku sekolah menengah lagi. Ketika itu, guru Bahasa Melayu kelas telah menceritakan perihal Prof Madya Lim Swee Tin kepada seluruh kelas. Sejak dari itu, perkembangan berita mengenai beliau terus menjadi perhatian penulis.

Begitu unik sekali apabila seorang yang berbangsa Cina mampu mendalami bidang kesusasteraan Melayu. Beliau telah banyak muncul di kaca televisyen mendeklamasikan sajak dan puisi. Malah beliau juga turut aktif memberikan ceramah di luar negara dalam bidang penulisan kreatif.

Antara karya yang telah diterbitkan ialah ‘Eva’ (1981), ‘Akrab’ (1985), ‘Menyusur Musim’ (1991), ‘Seorang Anak Kecil’. Manakala sajak-sajak lain yang pernah ditulis oleh beliau adalah ‘A Child and Other Poems’ (puisi dwibahasa, 1993), ‘Masih’ (1997) dan ‘Sebuah Fragmen Cinta’ (1998).

Prof Madya Dr. Lim Swee Tin telah dilahirkan di Bachok, Kelantan. Ayahnya merupakan seorang warga Cina yang berasal dari Fujien, China. Ibunya pula berasal dari keturunan Siam yang telah menetap di Bachok, Kelantan untuk beberapa generasi.

Prof Madya Dr. Lim Swee Tin telah membesar dalam kalangan masyarakat Melayu di Kelantan. Kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan sangat baik bukanlah sesuatu yang menghairankan. Malah anda boleh tersalah sangka bahawa beliau merupakan seorang yang berbangsa Melayu jika mendengar beliau berucap atau mendeklamasikan sajak dan puisi.

Prof Madya Dr. Lim Swee Tin juga menghasilkan cerpen, novel dan tulisan-tulisan bercorak kesusasteraan. Pada tahun 1990, beliau mewakili negara pada acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, Dewan Bahasa dan Pustaka memilih beliau bagi program Penataran Karya Sastera selama hampir sebulan di Jakarta, Indonesia.

Selain itu beliau juga telah memenagi beberapa anugerah kesusasteraan di dalam dan luar negara. Sumbangan beliau dalam bidang kesusateraan di negara ini sememangnya membanggakan. Kini beliau masih menabur bakti di dalam bidang kesusasteraan negara. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Prof Madya Dr. Lim Swee Tin telah membuktikan bahawa faktor bangsa yang berbeza bukanlah penghalang beliau mendalami kesusasteraan Melayu. Bukan sekadar mendalami, malah beliau juga merupakan seorang sasterawan Melayu berbangsa Cina yang sangat berjaya dan dikenali. Bak kata pepatah, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.