Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Dr. Syed Naquib al-Attas: Ilmuwan unggul Islam sezaman

Dunia Adea Ghafar 22-Jan-2020
Tan Sri Dr. Syed Muhammad al Naquib bin Ali al-Attas
Tan Sri Dr. Syed Muhammad al Naquib bin Ali al-Attas

Tan Sri Dr. Syed Muhammad al Naquib bin Ali al-Attas adalah ahli falsafah dan pemikir Islam kontemporari terpenting Malaysia. Dr. Syed Naquib adalah perintis pengemuka gagasan islamisasi pengetahuan atau pengislaman ilmu, iaitu penyesuaian agama dan kemodenan dalam mencari keupayaan menggunapakai amalan-amalan ilmiah dan saintifik selaras dengan norma etika keislaman. Beliau juga merupakan seorang yang terus-menerus memperjuangkan pengetahuan Islam dan bahasa Melayu di Malaysia, iaitu isi yang cuba disorot dalam artikel ini.

Lahir di Bogor, Indonesia pada 5 September 1931, Dr. Syed Naquib berasal daripada keluarga berketurunan Ba’Alawi (sayyid) dari Hadhramaut, Yemen yang susur galurnya kembali kepada Sayyidina Hussain, cucu Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda). Ayahnya adalah seorang Arab Hadhrami dan ibunya seorang bangsawan Sunda. Bersekolah rendah di Johor, beliau kemudian berpindah ke Jawa semasa zaman pendudukan Jepun untuk belajar agama dan bahasa Arab. Tahun 1946, beliau kembali ke Johor untuk pendidikan menengah agama dan seterusnya ke Kolej Inggeris Johor.

Dr. Syed Naquib kemudian memasuki Rejimen Askar Melayu DiRaja sebagai pegawai kadet dan berpeluang belajar di Akademi Ketenteraan Sandhurst, England. Waktu itu, beliau  telah mulai belajar tentang ilmu metafizik kesufian, terutamanya karya Mawlana Abdur Rahman Jami yang ditemui di perpustakaan akademi. Beliau turut berpeluang mengembara, terutamanya ke Sepanyol dan Afrika Utara untuk melihat dan meneliti pelbagai warisan Islam yang benar-benar mempengaruhi mindanya. Setelah kembali ke tanahair, beliau terus bekerja dengan Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Tidak lama kemudian, Dr. Syed Naquib menyambung pelajarannya dalam bidang sains sosial di Universiti Malaya. Selepas itu, beliau meneruskan pendidikan peringkat sarjana (M.A) di Institute of Islamic Studies, McGill University, Montreal, Canada (1962) dan kedoktoran (Ph.D) dari School of Oriental and African Studies, University of London (1965) yang semuanya menumpukan khas kepada falsafah, teologi dan metafizik Islam. Beliau menulis tesis bertajuk Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century Acheh bagi peringkat sarjana. Manakala tesis dua jilid kedoktorannya pula bertajuk The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kedua-dua nama ini, Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri adalah sarjana dan ulama terhebat alam Melayu.

Selepas tahun 1965, Dr. Syed Naquib kembali ke Malaysia dan dilantik menjadi Ketua Bahagian Kesusasteraan, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM). Beliau turut menjadi Dekan Fakulti Seni UM dari 1968-1970. Di UM, beliau adalah suara utama yang bertanggungjawab secara langsung dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran. Selepas itu Dr. Syed Naquib berpindah ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru dibuka, sebagai Ketua Jabatan Bahasa dan Sastera Melayu dan kemudian sebagai Dekan Fakulti Seni.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Syed Naquib merupakan salah seorang perancang terkanan dalam penubuhan UKM, dan telah berusaha menggantikan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di situ. Untuk terus melaksanakan visinya, beliau juga telah mengasaskan Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) di UKM pada tahun 1973 (kini, Institut Alam dan Tamadun Melayu atau ATMA). Pada tahun 1987, beliau mengasaskan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) yang kini merupakan sebahagian daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dr. Syed Naquib yang sangat meminati sejarah dan kesusasteraan Melayu telah menulis dan menerbitkan buku-buku semenjak belajar di Universiti Malaya lagi. Lanjutan daripada itu, beliau telah ditaja kerajaan Kanada melalui Canada Council Fellowship untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Seperkara yang menarik, pengajian kedoktoran beliau telah dibimbing oleh Dr. Martin Lings, cendekiawan dan penulis Inggeris yang terkenal sebagai penulis buku Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources, yang diperakui kewibawaannya di peringkat antarabangsa.

Sebagai pendidik, matlamat falsafah dan kaedah pendidikannya adalah untuk mengislamkan minda, badan dan jiwa serta kesannya terhadap kehidupan peribadi dan juga terhadap umat Islam secara am, termasuk persekitaran rohani dan jasmani luar jangkauan manusia. Dr. Syed Naquib telah memberikan sumbangan penting kepada dunia Islam kontemporari apabila beliau turut bertanggungjawab dalam mewawasankan serta mencipta konsep Universiti Islam, yang dirumuskan pada Persidangan Dunia Pertama tentang Pendidikan Muslim, di Mekah pada tahun 1977.

Penggunaan Bahasa Melayu bagi Dr. Syed Naquib adalah sangat penting sebagai bahasa pengajaran di peringkat universiti. Beliau telah mencadangkan kaedah bersepadu untuk mempelajari bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu supaya peranan dan pengaruh Islam dan hubungannya dengan bahasa dan budaya lain dapat dikaji dengan baik. Beliau sangat mempertahankan identiti Melayu dan merasakan bahasa Melayu merupakan salah satu wadah pengucapan Islam setelah beratus-ratus tahun menjadi wacana penterjemahan dan pentafsiran Al-Quran dan Hadith, teori ilmu pengetahuan, perundangan Islam dan sebagainya.

Beliau berpendapat, ilmu sekular barat telah menimbulkan kekeliruan tentang konsep fakta dan ilmu dalam bahasa Melayu. Penaklukan dunia Melayu oleh kuasa barat melalui proses sekularisasi ilmu, bahasa dan pemikiran telah memberi kesan terhadap pemikiran dan bahasa Melayu. Hal ini menyebabkan pengetahuan duniawi diberi keutamaan manakala ilmu agama Islam dianggap sebagai ilmu ukhrawi semata-mata. Pendapatnya menegaskan, untuk bertindak balas terhadap sekularisasi pengetahuan, para intelektual Muslim perlu melaksanakan proses Islamisasi. Konsep Islamisasi pengetahuan ini telah dianggap sebagai idea yang hebat dan mengagumkan.

Dr. Syed Naquib telah menulis tiga puluh karya ilmu-ilmu Islam tradisional termasuk sufisme, kosmologi, metafizik, falsafah, bahasa dan kesusasteraan Melayu. Antara buku-bukunya yang dikenali ialah Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, Risalah Untuk Kaum Muslimin dan sebagainya. Sementara itu, buku Islam and Secularism (1978) adalah karya formatifnya yang berpengaruh dan telah diterjemahkan secara meluas. Satu lagi bukunya yang terpenting ialah Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam (1995) yang mentakrifkan maksud pandangan dunia dari perspektif Islam secara keseluruhan.

Dr. Syed Naquib adalah seorang pemikir, ahli falsafah dan pendidik yang terkemuka di dunia Islam serantau dan antarabangsa. Pada masa ini, beliau telah disenaraikan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam, Jordan menerusi laporan The Muslim 500 – The World’s 500 Most Influential Muslims, 2020. Pada tahun 2011, beliau telah menerima anugerah Tokoh Melayu Terbilang daripada kerajaan Malaysia. Beliau juga telah menerima Anugerah IRCICA daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) melalui Pusat Penyelidikan untuk Sejarah, Seni dan Budaya Islam (IRCICA) kerana sumbangan cemerlangnya dalam pelbagai bidang tamadun Islam pada tahun 2000.