Dua cedera selepas jambatan Projek Pan Borneo runtuh

Uncategorized MAS 14-Dis-2019

Sebuah jambatan Projek Pan Borneo Pakej Kerja 11 (WPC11) yang sedang dibina di Miri, kira-kira 700 km dari Kuching dilaporkan runtuh pada 2.40 petang Jumaat.

Kenyataan Kementerian Kerja Raya (KKR) menyatakan kejadian berlaku di kawasan seksyen Pujut. Dua orang pekerja juga tercedera akibat kejadian berkenaan dan sedang mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Miri.

Demi keutamaan keselamatan pekerja dan orang ramai, kerja-kerja pembinaan telah dihentikan serta-merta di kawasan insiden. Kemalangan berkenaan berlaku disebabkan struktur di bahagian rasuk jambatan berkenaan yang tiba-tiba runtuh.

Siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan untuk memastikan kejadian sama tidak berulang sedang dilaksanakan.