Dua Garis Biru Tentang Kehamilan Luar Nikah

Filem : Dua Garis Biru

Klasifikasi : P13

Tarikh Tayangan : 3 Oktober 2019

Genre : Drama

Dibintangi oleh : Angga Aldi Yunanda, Zara JKT 48, Lulu Tobing, Cut Mini Theo, Dwi Sasono, Arswendi Nasution, Rachel Amanda, Ariella Calista Ichwan, dan Cindy Hapsari Maharani Pujiantoro Putri.

Ulasan :

Filem Indonesia yang disutradai oleh Gina S.Noer  ini mengangkat isu permasalahan hamil di luar nikah di kalangan remaja. Satu isu yang semakin serius biarpun ada pihak-pihak yang tidak suka membicarakan hal ini secara terbuka.

Menurut Gina, biarpun isu itu pahit untuk atau negatif untuk diceritakan kepada umum, namun dia cuba menyampaikan mesej permasalahan harus diselesaikan. Bukan dibiarkan berlarutan atas ego masing-masing. Ibu bapa juga harus memainkan peranan, bukan membuang anak tanpa rasa tanggungjawab.

Plot Dua Garis Biru bermula dengan memperlihatkan kemesraan pasangan remaja, Dara (Zara KJT 48) dan Bima (Angga Aldi Yunanda) yang saling-mencintai. Pasangan ini bukan sahaja tidak menyembunyikan hubungan mereka di kalangan rakan-rakan sekolah, bahkan tidak malu mengakuinya pada guru-guru sekolah.

Bagaimanapun konflik mula terjadi selepas Dara menunjukkan kit kehamilan yang mempunyai dua garis kepada Bima. Ternyata Bima sukar menerima perkara yang telah terjadi.  Dia menjadi tidak keruan kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sementara Dara dilihat bersikap lebih tenang.

Ketika masalah menjadi semakin sulit, sutradara Gina tidak memberatkan fikiran penonton, sebaliknya dia berjaya mempersembahan satu filem yang bersahaja. Dalam serius, gelak-ketawa turut memenuhi ruang pawagam.

Gina tahu di mana dia harus menghentikan atau melegakan perasaan penonton. Senang cerita, filem ini memberi pelbagai rasa. Ada saat-saat manis, gembira, serius, dan tertekan. Banyak adegan yang memperlihatkan situasi yang sering berlaku dalam masyarakat. Tindakan yang diambil selalunya dibuat atas rasa malu berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Bukan atas dasar rasional atau tanggungjawab.

Sejujurnya filem ini sangat-sangat bagus untuk ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya remaja yang sedang mabuk asmara. Ini kerana ia memberi gambaran jelas tentang perkara yang akan terjadi jika terlalu mengikut nafsu sehingga berlakunya kehamilan di luar nikah.

Lihat bagaimana keluarga Dara dan Bima menyelesaikan masalah anak-anak mereka dan ketahui juga risiko kehamilan pada usia muda. Sama ada dari segi kesihatan mahupun perjalanan hidup yang perlu ditempuh selepas itu. Semuanya tidak akan sama dan ketika itu anda tidak boleh lagi menoleh ke belakang.

Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah sosial ini. Jangan terlalu memberi kebebasan pada anak-anak dan jangan menjadikan urusan kerja sebagai tiket untuk anda mengabaikan anak-anak.

Untuk mengetahui kesudahan filem yang layak diberikan 4 daripada 5 bintang ini, panjangkan langkah anda ke pawagam-pawagam TGV terpilih. Selamat menonton!