Dua lokasi cuti persis luar negara

Singgah Chan Abdullah 15-Jun-2020
Sky Mirror di Kuala Selangor © Noracarol | Dreamstime.com

Ketika ini pasti ramai yang menanti bila perintah kawalan pergerakan (PKP) akan berakhir. Setelah tiga bulan berkurung di dalam rumah, pasti ada yang tak sabar-sabar untuk kembali pergi bercuti mengambil udara yang segar. Apabila kerajaan mula membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong, anda bolehlah mula berkunjung ke beberapa lokasi pilihan di Malaysia.

Selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan, bercuti di Malaysia juga tidak kurang hebatnya berbanding bercuti di luar negara. Berikut disenaraikan beberapa lokasi pilihan percutian di Malaysia persis lokasi di luar negara.

Sky Mirror

Sky Mirror di Kuala Selangor. Siapa menyangka di Malaysia juga terdapat lokasi yang hampir sama seperti Salar de Uyuni di Bolivia, dua sahaja di dunia.  Sky Mirror ialah satu kawasan pasir di pantai, di mana pengunjung akan terasa seperti cermin, akibat air pantai yang dapat memantulkan foto seperti di depan cermin.

Ia merupakan tarikan popular terbaru di Kuala Selangor. Lokasi ini terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Kampung Sasaran, Kuala Selangor. Bagi peminat fotografi, anda tak perlu lagi berhabis duit ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan seni foto Salar de Uyuni.

Sasaran ialah sebuah perkampungan nelayan masyarakat Cina yang dalam bahasa penduduk kampung disebut “Shasha Lan”.  Dalam bahasa Melayu ia ditukarkan menjadi ‘Sasaran.’ Fenomena pantulan cermin di Sasaran ini tidak selalu berlaku kerana ia sebenarnya sebuah kawasan pantai. Ianya hanya terjadi enam hari pada setiap bulan. Pengunjung perlu menaiki bot dari jeti Kampung Sasaran dan menuju ke luar pesisiran pantai yang mengambil masa hampir 30 minit.

Bagi masyarakat Muslim, dinasihatkan untuk membawa sedikit bekalan makanan seperti roti dan air mineral bagi mengalas perut kerana kesukaran mendapatkan makanan halal di lokasi tersebut. Tandas juga sukar didapati di kawasan pantai. Caj yang dikenakan ialah RM80 seorang untuk pergi ke Sky Mirror. Bagi yang meminati fotografi dan pantai, perjalanan ini pastinya berbaloi.

Masbro Village

Masbro Village, Melaka. Perkampungan percutian atau homestay yang diinspirasikan dari senibina Inggeris ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Rumah segitiga atau rumah berbentuk ‘A’ ini terletak di Kampung Bangsal, Paya Rumput, Cheng, Melaka.

Satu unit percutian rumah jenis kotej Inggeris ini boleh menempatkan enam orang pada satu masa. Setiap kotej menyediakan set memasak untuk keluarga. Ia turut dilengkapi dengan kolam renang. Suasana sekitarnya yang tenang dan jauh dari bandar pasti memikat hati pengunjung yang pertama kali datang.

Kini, Masbro Village yang memiliki tanah seluas 1.8 ekar mempunyai enam kotej. Diharapkan sebanyak 18 buah kotej akan dibangunkan berikutan permintaan tinggi  para pelanggan. Tempahan untuk majlis perkahwinan pada waktu malam di Masbro Village juga bakal dilaksanakan.

Masbro Village sangat sesuai untuk bercuti bersama keluarga. Untuk yang mencari kedamaian dan ketenangan bersama keluarga memang inilah destinasinya.

Itu sahaja perkongsian kali ini. Nantikan lokasi-lokasi yang lain dalam perkongsian berikutnya.