Duit Raya Tak Wajib, Kalau Bagi Dapat Pahala

Sahsiah Rahayu Mat Nah 29-Mei-2019
Giving and receiving money packet during Eid Fitri. Arabic character means Eid Mubarak

Tahun ini berapa banyak bajet duit raya yang anda peruntukkan? Atau anda buat keputusan tidak mahu memberi duit raya? Amalan memberi duit raya bukanlah satu perkara yang wajib, tetapi ia  sudah menjadi budaya rakyat Malaysia sejak turun-temurun.

Sehingga ada pihak yang berasa tertekan apabila tidak dapat menyediakan duit raya kepada anak-anak, saudara-mara atau anak-anak kenalan yang datang berkunjung di Hari Raya nanti.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam entrinya ada menggariskan panduan atau adab dalam memberi dan menerima duit Raya pada Syawal nanti.

1) Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.

2) Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.

3) Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.

Jadi, jika anda tidak berkemampuan untuk memberi duit raya pada tahun ini, janganlah berdukacita.  Islam itu mudah, jadi jangan sesekali hanyut dengan budaya turun-temurun. Jika anda punya rezeki lebih, bolehlah teruskan amalan ini kerana ia menjanjikan pahala.

Konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam.

Bahkan perbuatan sedekah kepada ibubapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.

Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim.  Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

“Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.” – Riwayat Al-Bukhari (56)

Sumber : http://muftiwp.gov.my

Kredit foto : 123rf