Dunia dan penderitaan yang tidak pernah habis

Masyarakat 19 Mac 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Dunia dan penderitaan yang tidak pernah habis
Dunia dan penderitaan yang tidak pernah habis © Airdone | Dreamstime.com

Sebilangan besar daripada kita mungkin berasa tidak tenteram akibat daripada wabak pandemik global semasa. Kita tidak pernah mengalami situasi seperti ini sebelumnya.

Biasanya, ramai terpengaruh dengan apa yang dilihat di media sosial tentang penderitaan masyarakat di seluruh dunia. Sebagai umat Islam, kita harus sedar bahawa terdapat banyak perkara yang kita tidak ketahui.

Dunia dan penderitaan 

Apabila kita sedar bahawa penderitaan berlaku setiap masa walaupun kita tidak mengetahuinya, maka ia akan membantu kita agar tidak berasa terbeban dengan keadaan semasa.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ramai  di luar sana yang rumah mereka musnah dalam gempa bumi. Mereka terpaksa berpindah untuk berlindung di tempat lain. Mereka hilang kehidupan normal yang pernah mereka jalani sebelum itu. Tidak kurang juga yang  kehilangan tempat tinggal atau terpisah daripada ahli keluarga masing-masing.

Terdapat juga yang kehilangan ahli keluarga mereka akibat runtuhan itu. Mereka terpaksa melalui penderitaan kerana menunggu berita mengenai ahli keluarga mereka yang hilang. Mereka juga bimbang keselamatan ahli keluarga mereka dan dibelenggu ketakutan yang dahsyat.

Selain itu kejadian banjir besar telah mengakibatkan ramai kehilangan tempat tinggal dan ahli keluarga. Bagi mereka yang berjaya diselamatkan pula, mengalami komplikasi. Kehidupan akan berubah sepenuhnya tanpa ahli keluarga yang sangat penting bagi mereka.

Di pelbagai tempat di dunia, terdapat juga mereka yang berusaha mencari sesuatu untuk dimakan sepanjang hari. Mereka berjalan berbatu-batu jauhnya mencari makanan untuk ahli keluarga. Kadang-kala mereka terpaksa memakan makanan yang tidak selamat kerana keadaan yang  terdesak.

Dengan pelbagai masalah kesihatan mental dan emosi, ramai  yang menderita dalam diam tanpa disedari. Mereka mungkin menderita akibat kegelisahan, kemurungan, pengabaian, atau menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Terdapat begitu ramai yang menderita tetapi penderitaan mereka tidak disedari.

Masalah menghapus kesalahan manusia

Terdapat juga yang menjadi mangsa diskriminasi kerana mereka dianggap ‘berbeza’ daripada majoriti masyarakat di kawasan tersebut. Terpaksa berdepan dengan kata-kata yang kasar dan diperlakukan secara berbeza semata-mata kerana latar belakang mereka.

Mereka hidup dalam ketakutan sama ada sendirian ataupun bersama ahli keluarga. Tidak tahu apa yang akan mereka alami pada keesokan harinya atau pada jam berikutnya. Mereka terlalu takut untuk meninggalkan kediaman mereka.

Ada yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran. Mungkin  kebakaran  besar di kawasan tempat tinggal yang menyebabkan rumah mereka dan juga rumah jiran terbakar. Mungkin juga terdapat kerosakan pada alatan akibat kebakaran.

Oleh itu, pada waktu yang tidak menentu ini, memahami bahawa penderitaan sentiasa ada di dunia ini, akan membantu kita untuk tidak menjadi panik. Kita mungkin tidak pernah mengalami situasi seperti ini, tetapi ada begitu banyak bencana yang berlaku di dunia ini tanpa kita sedari.

Daripada Abu Sa’id Al Khudri dan Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah SWT akan menghapus kesalahan-kesalahannya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 5641;  Muslim, 2573; at-Tirmidzi, 966; Ahmad, 7684, 8070, 10714)

Kita mesti menginsafi diri bahawa hidup ini bersifat sementara. Kebahagiaan, kesedihan, harta duniawi, dan kesusahan; tidak ada yang akan kekal selamanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiadalah perbandingan (yang lebih tepat antara) dunia dengan akhirat melainkan seperti ketika seorang daripada kalian memasukkan jarinya ke dalam lautan, maka lihatlah berapa titiskah yang masih tersisa (di jari tangan).”

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)