E-hailing Pilihan Warga Kota Untuk Pelbagai Tujuan

Suka Rahayu Mat Nah 14-Ogo-2019
portrait of young female taxi driver looking for direction via GPS on her mobile phone

Bagi warga kota yang menduduki bandar-bandar utama seperti di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, perkhidmatan e-hailing menjadi pilihan utama untuk bergerak ke sana-sini selain menaiki pengangkutan awam.

Selain daripada enggan memandu dalam kesesakan lalu-lintas yang luar biasa, ramai juga yang mahu mengelak daripada berhadapan masalah parkir.

Bukan semua lokasi menyediakan kemudahan parkir mencukupi. Kalau ada pun, caj yang dikenakan mungkin lebih mahal daripada set sarapan pagi di McDonalds.

Jika anda salah seorang individu yang sering menggunakan perkhidmatan e-hailing, syarikat e-hailing yang manakah sering menjadi pilihan? Tahukah anda selain daripada Grab dan MyCar, sebenarnya ada banyak lagi perkhidmatan e-hailing yang tersedia.

Namun bukan semua syarikat ini mempunyai aplikasi atau menawarkan servis yang sama dengan syarikat e-hailing paling popular, Grab dan MyCar. Sebaliknya, syarikat-syarikat ini menawarkan perkhidmatan yang lebih spesifik ataupun terarah kepada kumpulan sasaran.

Hendak tahu info selanjutnya? Jom semak senarai berikut:

 

1) Riding Pink

Pemandu wanita. Penumpang wanita. Idea mudah yang mencipta Riding Pink. Misi syarikat ini adalah untuk menawarkan peluang ekonomi dan dalam masa yang sama menyediakan perkhidmatan e-hailing yang selamat dan mesra wanita.

Difahamkan Riding Pink juga sering menjadi pilihan ibu bapa yang mahu mencari pemandu bagi menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah.  Selain itu, ada juga yang menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk kegunaan ibu-bapa yang sudah tua untuk ke mana-mana.

Jad, jika anda lebih selesa atau tidak mahu mengambil risiko dengan pemandu lelaki, bolehlah cuba menggunakan perkhidmatan e-hailing ini.

 

2) Ladies Only Riders & Drivers (L.O.R.D)  

Pada 2016, dua rakan karib, Jaspreet Kaur dan Kirajeet Gill melancarkan perkhidmatan Ladies Only Riders & Drivers (L.O.R.D),  sebuah platform bagi perkhidmatan pengangkutan khusus untuk wanita.

Wanita yang ingin menggunakan perkhidmatan L.O.R.D perlu ke halaman kumpulan Facebook L.O.R.D, https://www.facebook.com/lord.officials/ untuk menempah perjalanan. Ini bermakna anda perlu merancang perjalanan lebih awal kerana penumpang dan pemandu dipadankan secara manual berdasarkan butiran yang diberikan.

Individu yang ingin menggunakan perkhidmatan L.O.R.D perlu mendaftar sebagai ahli kumpulan Facebook terlebih dahulu.

 

3) Kidz Carpool Malaysia

Bagi ibu bapa yang bimbang tentang keselamatan anak-anak untuk berulang ke sekolah atau pun ke tempat tuisyen, kini anda boleh mempertimbangkan perkhidmatan e-hailing Kidz Carpool Malaysia.

Dengan slogan Made By Parents for Parents, Kidz Carpool Malaysia merupakan aplikasi (android) pertama di Malaysia yang menyediakan platform perkhidmatan menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah ke pusat tuisyen atau pusat jagaan dengan lebih selamat, murah dan mudah.

Selain memberikan ketenangan fikiran kepada ibu bapa, Kidz Carpool juga membuka peluang baru dalam komuniti anda dan masyarakat Malaysia untuk meraih pendapatan sampingan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.kidzcarpool.com.my

 

4) Frenzt

Perkhidmatan e-hailing ini pada mulanya menyasarkan golongan pelajar dengan menawarkan khidmat menghantar mereka atau barangan mereka ke destinasi pilihan.

Bagaimanapun, Frenzt yang dilancarkan secara rasmi pada 1 Julai 2018 kini sudah boleh ditempah oleh umum.

Aplikasi Frenzt ini dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan untuk mengurangkan risiko jenayah penyalahgunaan aplikasi seperti pengguna diminta untuk menyertakan nombor kad pengenalan atau passport serta alamat emel.

Anda boleh memuat turun aplikasi Frenzt di Google Play Store dan Apple App Store.

 

5) MULA

Satu lagi perkhidmatan e-hailing yang meyakinkan ialah MULA. Ia meliputi kawasan sekitar Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan KLIA. Selain menghantar penumpang ke destinasi pilihan, MULA juga menawarkan perkhidmatan penghantaran barang.

Satu keistimewaan MULA ialah, anda boleh memilih jenis kenderaan yang diinginkan. Sama ada mahu yang mewah, premium, atau basic dan harga bermula serendah RM5.00. Tempahan boleh dibuat serta-merta atau 30 hari lebih awal.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari https://mula2u.com atau muat turun aplikasi MULA di Google Play Store atau Apple App Store.

Kredit foto : https://frenzt.com/ https://mula2u.com/ http://www.kidzcarpool.com.my https://www.facebook.com/lord.officials/photos & https://www.facebook.com/ridingpink/