E-Skuter Beam Kini Di Kuala Lumpur

Suka Rahayu Mat Nah 10-Jun-2019

Perkhidmatan e-skuter, Beam yang beroperasi di Singapura kini telah melebarkan sayapnya di Kuala Lumpur apabila syarikat itu menempatkan kira-kira 200 unit e-skuter di sekitar Bukit Bintang, Pusat Membeli-belah Lot 10, dan pusat bandar Mont Kiara.

Menurut Naib Presiden Hal Ehwal Korporat Beam, Christopher Hilton, pemilihan ketiga-tiga lokasi itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor iaitu jumlah pejalan kaki di kawasan tersebut, kemudahan laluan pejalan kaki yang luas serta jarak ke stesen pengangkutan awam.

“Pengguna tidak perlu menghantar atau meletakkan e-skuter sewaan mereka di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan, tetapi mereka boleh memilih mana-mana lokasi yang diinginkan. Kami percaya cara yang paling baik untuk menghentikan perjalanan ialah di mana destinasi terakhir mereka,” ujar Hilton pada sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Untuk menggunakan e-skuter Beam, pelanggan perlu memuat-turun aplikasi Beam, mengaktifkan data telefon mudah alih dan Bluetooth, serta memasukkan butiran kad kredit atau kad debit.

Pelanggan juga akan mendapat liabiliti am dan insurans peribadi semasa menggunakan perkhidmatan e-skuter Beam.

Caj yang dikenakan bermula pada RM2.50 dan kos tambahan 30 sen untuk setiap minit tambahan. Kelajuan e-skuter dihadkan pada 20 km sejam dan pemakaian topi keledar tidak wajib walaupun syarikat itu menggalakkan pelanggannya menggunakannya.

Hilton berkata, kenderaan itu boleh dikesan dengan menggunakan telefon pintar pengguna dan peranti IOT (Internet of Things) yang terdapat pada e-skuter Beam.

Geofensi turut digunakan untuk memastikan pengguna tidak meletak e-skuter di luar kawasan yang ditetapkan. Mereka yang meninggalkan e-skuter Beam di luar kawasan servis akan dikenakan bayaran penalti sebanyak RM5.00.

Pengguna e-skuter Beam boleh menempuh jarak 45km hingga 50km atau kira-kira empat hingga lima perjalanan sebelum perlu mengecas semula kenderaan.

Jelas Hilton lagi, pengguna tidak perlu gusar dengan tahap keselamatan kenderaan terbabit kerana ia akan diperiksa secara kerap oleh marshal untuk keselamatan.

Semenjak diperkenalkan sejak bulan lalu, e-skuter Beam telah mencatatkan lebih daripada 15,000 tunggangan, dan aplikasi itu telah dimuat turun sebanyak 10,000 kali.

Syarikat itu turut mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperluaskan kawasan operasi dan mendapat lebih banyak ruang untuk meletakkan kenderaan terbabit.

Selain itu, ia juga dalam usaha untuk berbincang dengan pihak penguatkuasaan undang-undang bagi menangani kes kecurian e-skuter.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.ridebeam.com

Kredit foto : Mutant Communications (Malaysia)