Effro Platform Online Sehenti Pengurusan Acara

Bagi anda yang pernah menguruskan sesebuah acara, proses merancang majlis tersebut adakalanya boleh menjadi sesuatu yang membebankan atau memberi tekanan kepada kita.

Tambahan lagi jika ia melibatkan acara bersaiz besar dengan tempoh masa untuk merancang yang amat pendek.

Daripada hal-hal seperti makanan dan minuman, lokasi, bajet, acara pentas, tetamu jemputan, tetamu kenamaan, promosi, hebahan media dan banyak lagi, semuanya perlu diselesaikan dengan pantas.

Meskipun ada pelbagai agensi yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan, namun kebanyakannya tidak secara menyeluruh.

Akhirnya, kita tetap perlu mencari beberapa penyedia perkhidmatan berlainan bagi memastikan acara tersebut dapat berjalan dengan lancar.

Namun, semua itu tidak akan menjadi masalah lagi jika anda menggunakan Effro, sebuah platform teknologi event hiring B2B dari Singapura.

Effro memudahkan urusan merancang acara kerana ia menyediakan segala jenis perkhidmatan termasuk lokasi, vendor, pengacara atau persembahan dalam satu ruang pasaran online.

Dalam erti kata mudah, ia bertindak sebagai platform sehenti yang menawarkan kesemua perkhidmatan yang diperlukan untuk pengurusan acara.

“Kami sedar bahawa perkara terpenting bagi perancangan sesebuah acara adalah masa.

“Kebanyakan pengurus acara bertungkus-lumus dan bersengkang mata untuk mencari penyedia perkhidmatan terbaik bagi memenuhi setiap elemen dalam acara tersebut.

“Itu belum lagi melibatkan isu-isu lain seperti karenah pentadbiran dan prosedur pembayaran yang sering mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

 

“Disebabkan itu, kami ingin menghapuskan semua kekangan itu dengan memperkenalkan Effro bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan acara dilakukan,” ujar Pengasas Effro, Adam Tan.

Tambah Adam, penawaran platform seumpama itu adalah bagi mengintegrasikan pelbagai sumber penyedia perkhidmatan dari seluruh rantau Asia Tenggara dalam satu platform tunggal.

“Tidak kiralah jika anda berada di Singapura dan mahu menganjurkan acara di Kuala Lumpur, anda boleh mencari dan melantik mana-mana penyedia perkhidmatan hanya dalam satu platform.

“Semuanya ada di hujung jari anda, mengikut jenis acara yang akan dianjurkan,” jelasnya.

Sehingga kini, Effro mempunyai kira-kira 1,200 bakat (talent) dan 300 pelanggan bagi platformnya di Singapura selain turut dilancarkan di Thailand dan Malaysia baru-baru ini.

Bagi memperluaskan penembusannya ke peringkat serantau, Effro turut dijangka untuk menembusi pasaran Indonesia dan Hong Kong menjelang hujung tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai Effro boleh didapati di https://pages.effro.com/win/ atau  www.effro.com.my.

Foto: Effro & Matheus Bertelli (Pexels)