Eksperimentasi Rekaan Art Deco Siti Nurhaliza

Menyarung baju raya yang selesa, cantik dan bersesuaian dengan diri sendiri adalah penting bagi memastikan kita sentiasa kelihatan anggun pada hari lebaran.

Selain tampak cantik pada mata sendiri dan pandangan orang lain, pelbagai perkara perlu dititikberatkan ketika membeli baju raya termasuk jenis material yang digunakan agar kita sentiasa berasa selesa ketika memakainya.

Mengambil kira setiap perkara tersebut, Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza tampil memperkenalkan koleksi baju raya terbaharu pada tahun ini, Nostalgia Raya yang sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Direka khas dengan mengetengahkan konsep art deco, koleksi raya pada tahun ini menampilkan 43 koleksi dengan 100 jenis rekaan beserta corak-corak senibina, hiasan, binaan bangunan, geometri dan simetrikal yang berulang dan seimbang.

Menariknya, ia dihasilkan menggunakan elemen yang merangkumi eksklusiviti, kesopanan dan keanggunan.

Terdapat dua pilihan untuk si pemakai, iaitu bagi yang menginginkan kesederhaan, boleh memilih rekaan polos yang akan menyerlahkan keayuan mereka.

Manakala bagi yang menginginkan motif yang lebih meriah pula, boleh memilih rekaan printed dengan pelbagai corak yang kelihatan anggun.

Didatangkan dalam pilihan warna pastel dan cerah, semua busana tersebut direka menggunakan pelbagai material bermutu tinggi seperti crepe dan satin yang pastinya lebih mudah dijaga dan yang paling penting adalah selesa untuk dipakai.

“Tradisi menyambut raya dalam kalangan rakyat Malaysia saban tahun amat meriah dengan trend beraya dan acara rumah terbuka selama sebulan.

“Disebabkan itu, kami mengeluarkan koleksi baju raya dengan lebih pilihan rekaan ini kerana menyedari kepentingan baju raya sebagai salah satu elemen utama dalam sambutan Aidilfitri.

“Paling penting, koleksi ini mengambil kira pelbagai perkara seperti penggunaan material yang sejuk dan selesa, sesuai dengan cuaca di Malaysia serta potongan yang tidak terlalu ketat,” ujar Pengasas Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Siti, koleksi raya pada tahun ini merupakan versi lebih baiknya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Setelah menambah baik kekurangan-kekurangan bagi koleksi tahun-tahun sebelum ini, kami yakin dengan koleksi Nostalgia Raya pada tahun ini.

“Pelanggan boleh mendapatkan kesemua kira-kira 100 rekaan ini di enam butik Creacion dan lihat sendiri keanggunannya,” jelasnya yang mengilhamkan sendiri kesemua koleksi Nostalgia Raya bersama perekanya.

Bermula daripada proses rekaan, pemilihan fabrik sehinggalah ke proses pengeluaran dan pembuatan, Siti terlibat secara total dalam perusahaan label fesyen miliknya itu.

Rekaan-rekaan yang dikeluarkan itu pula adalah sebagai memenuhi permintaan pelanggan, peminat dan pasaran yang mahukan koleksi busana ready-to wear yang minimal untuk digayakan tatkala Aidilfitri, namun masih mempunyai sentuhan eksklusif.

Didatangkan dalam pelbagai saiz, daripada XS, hingga ke XXXL, ia dijual pada harga RM200 hingga RM350.

Turut terdapat adalah koleksi untuk kanak-kanak berusia 1 hingga 9 tahun yang dijual pada harga RM90 hingga lebih RM100.

Foto: Aiem Rahman

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Direka khas dengan mengetengahkan konsep art deco, koleksi raya pada tahun ini menampilkan 43 koleksi dengan 100 jenis rekaan beserta corak-corak senibina, hiasan, binaan bangunan, geometri dan simetrikal yang berulang dan seimbang.