Elak tegur mereka yang murung secara begini

Kehidupan Chan Abdullah 29-Mei-2020
Kemurungan atau depresi © Milkos | Dreamstime.com

Sebagai seorang Muslim, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk tegur-menegur dan saling menasihati dalam perkara kebaikan. Namun begitu dalam menasihati dan menegur, kita juga perlu menjaga adab supaya tidak menyakiti orang yang ditegur.

Memang seronok menasihati orang tetapi kurang enak dan selesa apabila tiba giliran kita pula yang ditegur. Begitulah jua dalam menegur orang lain, perlulah kita lebih sensitif, menjaga perasaan dan tidak menjatuhkan maruah mereka yang ditegur. Apatah lagi jika kita ingin menegur mereka yang mempunyai masalah kemurungan atau depresi, perlulah lebih berhati-hati.

Para pesakit kemurungan (depression) ini juga pastinya mahu sembuh dan tidak mahu selamanya berada di dalam kemurungan. Namun penyakit ini berpanjangan dan sukar untuk diatasi. Oleh itu elakkan menasihati dan menegur mereka dengan perkara-perkara ini:

  • Jangan bersedih – Nasihat ini umpama menyuruh orang yang tidak mengantuk untuk tidur. Perkara yang sebaliknya akan berlaku. Perasaan sedih dan sukar untuk gembira itu adalah sesuatu yang sukar dikawal oleh pesakit. Nasihat sebegini sebaliknya akan mengakibatkan pesakit lebih tertekan. Memang pesakit sendiri pun tidak mahu bersedih buat masa yang lama. Percayalah.
  • Janganlah sensitif sangat – Teguran ini akan menambahkan rasa rendah diri kepada sakit. Malah pesakit akan merasakan diri mereka tidak berguna.
  • Keluar dan bergembiralah – pesakit kemurungan yang serius biasanya menghadapi masalah serangan panik dan sukar untuk keluar bersosial terutamanya di tempat yang sesak. Pesakit lebih gemar berada di dalam persekitaran terkawal.
  • Menyamakan pesakit dengan kenalan yang lain – walaupun niat ingin membantu, tetapi pesakit kemurungan tidak suka disamakan dengan yang lain. Masing-masing mempunyai sejarah tersendiri. Elakkan daripada menyamakan atau membandingkan pesakit. Sebaik-baiknya beri sokongan dengan mendengar luahan hati mereka.
  • Menyamakan gejala murung dan kemurungan – ramai yang sering tersalah anggap bahawa murung dan kemurungan itu perkara yang sama. Anda mungkin murung kerana sesuatu insiden yang terjadi dan boleh bersemangat kembali keesokannya. Tetapi kemurungan ini boleh berlanjutan berhari-hari sebelum pesakit kembali bersemangat sedikit.

Masih ramai masyarakat yang tidak dapat menerima dan memahami masalah kesihatan mental seperti masalah kemurungan ini kerana ianya tidak dapat dilihat secara fizikal. Sebenarnya, hari ini lebih ramai yang mengalami masalah kesihatan mental berbanding fizikal dan mereka ini kebanyakannya menderita dalam diam.

Kita haruslah cakna dan peka terhadap pesakit-pesakit yang mengalami gangguan kesihatan mental ini. Jika mereka ini terdiri dari ahli keluarga dan rakan-rakan anda, pujuklah mereka untuk mendapatkan bantuan pakar. Bantulah mereka dengan sebaik mungkin. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.