Elakkan lewah dalam kehidupan

Psikologi 27 Feb 2021 Hannan
Hannan
Elakkan lewah dalam kehidupan
Elakkan lewah dalam kehidupan © Siam Pukkato | Dreamstime.com

Pernahkah anda dengar perkataan lewah? Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, lewah bermaksud ‘terlalu banyak sehingga berlebihan, melimpah-limpah atau lebih daripada sepatutnya’. Malah, kata lewah juga berkait rapat dengan amalan yang dianggap membazir.

Manusia merupakan makhluk yang suka melewah. Tidak percaya? Cubalah lihat sendiri perilaku umat Islam semasa bulan Ramadan. Ramai yang suka mengikut nafsu dan membeli terlalu banyak makanan dan minuman sebagai juadah berbuka puasa.

Akibatnya, semua makanan tersebut tidak dapat dihabiskan dan akan dibuang pada waktu berbuka. Sebenarnya, tingkah laku manusia yang suka melewah ini bukanlah terhad kepada pembelian makanan sahaja. Ia sebenarnya telah menjadi sebahagian besar daripada hidup manusia.

Lewah? Bersederhanalah dalam kehidupan

Socrates pernah berkata, bersederhanalah di dalam perbuatan, pemikiran dan juga perasaan. Malah, di dalam agama Islam sendiri, kita digalakkan supaya tidak membazir kerana membazir itu merupakan amalan syaitan.

Walau bagaimanapun, di dalam masyarakat yang hidup berpaksikan nafsu, amalan bersederhana dalam hidup merupakan sesuatu yang sering diabaikan. Malah, ramai yang terjatuh di dalam perangkap materialisme dan bertindak menyamakan wang ringgit dengan kebahagiaan dalam hidup.

Sebab itulah, ramai yang hidup dalam keadaan tertekan, tidak puas hati dan cemburu terhadap orang lain. Malah, ada juga yang bertindak mengumpul kekayaan kerana percaya itulah yang akan membuatkan keluarga mereka gembira dan bahagia.

Tidak dinafikan, wang ringgit merupakan sesuatu yang penting di dalam hidup. Dengan duitlah, kita boleh hidup dengan selesa dan selamat. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu-satunya benda yang boleh memberikan kita kegembiraan.

Malah, ramai orang terlupa, betapa mudahnya untuk memuaskan hati manusia, sehinggalah kita sendiri bertindak meletakkan jangkaan yang tidak realistik terhadap kebahagiaan diri sendiri.

Sederhana adalah kunci kebahagiaan

Sebenarnya, ramai yang boleh hidup bahagia dengan cara bersederhana dalam hidup jika tahu caranya. Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk mengetepikan nafsu dan fokus pada perkara yang benar-benar bermakna kepada kita.

Ketika bekerja, cuba ingatkan diri anda bahawa anda bekerja untuk hidup dan bukan hidup untuk bekerja. Malah, karier anda juga bukanlah penentu siapa diri anda. Jika anda ingin bersederhana dalam bekerja, pastikan anda boleh mengimbangi masa dengan bijak dan tidak menghabiskan sebahagian besar hidup anda dengan bekerja.

Sama jugalah dengan pemakanan. Elakkan mengambil terlalu banyak makanan dalam satu satu masa. Contohilah sunah Rasulullah SAW yang makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Malah, ketika berpuasa, Baginda hanya berbuka dengan 3 biji kurma dan tidak makan sehingga kenyang.

Bagaimana pula dengan penggunaan teknologi? Teknologi merupakan satu ciptaan luar biasa yang amat baik jika kita tahu mengggunakannya secara bersederhana. Kadangkala, kita meluangkan masa terlalu lama di hadapan skrin telefon bimbit sehingga ia menganggu hubungan peribadi kita bersama orang sekeliling.

Tetapi, bolehkah kita berubah daripada melakukan perkara-perkara di atas dan cuba untuk bersederhana dalam hidup? Tidak mustahil, tetapi ia mungkin sukar dan mengambil masa yang lama.

Namun, dengan sentiasa bersederhana, kita boleh belajar bersyukur dengan apa yang ada dan Insya-Allah, hidup dalam keadaan yang gembira dan bahagia tanpa mengharapkan puji-pujian daripada orang lain.