Elakkan pembaziran, jangan berlebihan

Keluarga Hanita Hassan
Hanita Hassan
Elakkan pembaziran, jangan berlebihan
Elakkan pembaziran, jangan berlebihan © Sinseeho | Dreamstime.com

Mengelakkan pembaziran merupakan sebahagian daripada iman, dan kita sering mengabaikannya. Sebagai contoh semasa kita menuangkan air ke dalam gelas, fikirkan berapa banyak yang akan diminum.

Sekiranya kita mengetahui tidak habis minum segelas air, elakkan daripada menuangnya sehingga penuh. Ada kemungkinan baki air tersebut akhirnya dibuang sahaja ke dalam sinki dapur. Oleh itu kita perlu berhenti melakukan pembaziran.

Elakkan pembaziran, jangan berlebihan

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

(Surah al-A’Raaf, ayat 31)

Terdapat ramai orang di dunia ini yang perlu berusaha berhari-hari tanpa menemui sumber air yang bersih dan selamat untuk diminum. Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan dan elakkan pembaziran.

Setiap kali mengambil makanan yang dihidang, fikir dengan sebaiknya berapa banyak yang anda akan makan. Anda tidak seharusnya mengambil ringan perkara sebegini. Adakalanya anda mengambil makanan dengan kuantiti yang banyak tetapi tidak menghabiskannya, adakalanya tidak menghabiskan separuh daripada makanan tersebut. Kita perlu memandang serius tentang perkara ini, kerana agama Islam mengajar untuk tidak melakukan pembaziran.

Sekiranya anda membeli makanan di kedai jangan membeli terlalu banyak.  Membeli makanan secara berlebihan akhirnya ia tidak dimakan kerana telah luput tarikh. Anda pastikan berapa banyak makanan yang perlu dan bagaimana untuk menyimpannya, seperti memasukkannya ke dalam peti sejuk.

Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan jumlah pembuangan makanan dan anda  seharusnya tidak mengambil remeh perkara ini. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menjadikan kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma, tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya), dan tidak sama (rasanya). Makanlah daripada buahnya (yang bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik hasilnya (dengan dikeluarkan zakatnya); dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebihan.”

(Surah al An’Aam, ayat 141)

Elakkan membuang masa kurniaan Allah Taala

Masa juga merupakan salah satu topik utama dalam perbincangan mengenai pembaziran. Ada kalanya, selain bersantai, kita banyak menghabiskan masa yang terluang di media sosial atau menonton televisyen. Kita perlu berhati-hati dalam hal ini kerana masa tidak dapat diputar kembali.

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”

(Hadis riwayat Bukhari, 5933)

Kita tidak tahu bilakah kehidupan ini akan berakhir. Oleh itu, berhati-hati agar tidak membuang masa yang telah dikurniakan Allah SWT. Kita perlu berusaha melakukan kebaikan dan mengejar ganjaran pahala.

Cuba manfaatkan masa dengan memberi bantuan kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk di komuniti setempat. Kita juga boleh menghulurkan sedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik.

Yang terbaik, habiskan masa yang ada dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT, seperti menunaikan solat, membaca al-Quran, dan melakukan zikir. Hargailah masa yang ada ini kerana ia tidak akan kembali. Kita tidak akan berupaya untuk mengembalikan masa yang sudah lalu untuk memperbaiki diri dan menjadi lebih produktif.

Sekiranya kita menyesal membuang masa di masa lalu, ia tidak bermakna kita harus berputus asa dan menganggap bahawa kita telah gagal. Setiap hari merupakan peluang yang dikurniakan Allah SWT. Oleh itu hargailah peluang yang telah diberikan Allah.