Elakkan sifat Mazmumah yang mufliskan amalan di Akhirat

Islam untuk Pemula 16 Mac 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
dreamstime_s_179739979
oto 179739979 © Heru Anggara | Dreamstime.com

Seiring usaha mengukuhkan saham dan janaan ukhrawi, kita bukan sahaja perlu memperbaiki amalan makruf, malah mencegah diri dan mengelakkan dari melakukan sifat-sifat mazmumah juga sangat dituntut.

Dari Imam Al-Ghazali, antara sifat Mazmumah ialah gemar makan dan minum, banyak berkata yang sia-sia, sifat amarah, kasih pada harta dan dunia, dan penyakit hati seperti hasad, dengki, iri hati, takbur, riyak, dan ujub.

Gemar makan dan minum

Amalkan adab dan sunnah makan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Berwaspadalah dalam mengambil kuantiti pemakanan harian kita. Ini kerana, makan dan minum berlebihan boleh memudaratkan dan ia bersangkutan dengan kualiti ibadah kita.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesuatu yang paling aku khawatirkan terhadap umatku ada perut buncit (kerana banyak makan), sering tidur, rasa malas, dan lemah keyakinannya.”

(Hadis riwayat Darqutni)

Banyak berkata yang sia-sia

Selain itu, Nabi Muhammad SAW mengingatkan agar meninggalkan perkataan dan perbuatan sia-sia, supaya hidup selamat dunia dan akhirat. Terdapat banyak hadith membawa peringatan kepada percakapan kosong yang tidak mendatangkan sebarang manfaat apatah lagi menyakiti hati sesama kita.

Elakkan bencana lisan seperti mengumpat, menghina, berdusta dan bertengkar. Perbanyakkan ucapan yang menganjur kepada berbuat kebaikan seperti galakan untuk memberi sedekah dan mengadakan perdamaian di antara manusia seperti yang dinyatakan dalam Surah An-Nisa’ ayat 114.

Sifat amarah

Apabila berada dalam keadaan tertekan atau diuji, perasaan marah selalu menguasai diri. Menahan nafsu amarah merupakan sifat terpuji dan sangat dituntut dan dijamin syurga.

“Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.”

(Sunan Abi Daud)

Kasih pada harta dan dunia

Al-Fadhil Ustaz Wadi Anuar menyebut dalam kuliahnya “Tidak salah untuk menjadi kaya, tidak salah memiliki harta dan kemewahan hidup.” Tetapi, semak dan buatlah inspeksi pada diri dan keluarga. Adakah kita tergolong dalam golongan yang kasih pada harta dan dunia?

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu dan anak-pinakmu daripada mengingati Allah. Sesiapa berbuat demikian, maka tergolonglah mereka di kalangan orang yang rugi.”

(Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Jika segala kemewahan yang dimiliki di dunia ini membawa kepada sifat bakhil, tamak haloba, megah, mendabik dada dan juga membazir, ketahuilah bahawa ia amat dibenci oleh Islam.

Sabda Rasulullah SAW:

“Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu.”

Penyakit hati (hasad, dengki, iri hati, takbur, riyak dan ujub)

Riwayat Nabi Muhammad SAW:

“Hasad itu memakan (memusnahkan kebajikan, sebagaimana api memakan membakar kayu.”

Jauhkan diri dari sifat takbur, riyak dan ujub. Sifat ini wujud apabila seseorang itu riyak mempertontonkan keindahan atau kelebihan dari segi fizikal, intelektual, ucapan narsisistik atau perlakuan.

Intihanya, bagi menghindari sifat-sifat mazmumah ini, amalan sifat tawaduk atau rendah diri perlu dipraktikkan dalam apa jua urusan seharian. Selalu membasahi lidah dengan ucapan syukur dan tahmid ke hadrat Allah SWT agar kita tidak lupa diri.

Jadikan ia satu pedoman yang dipandu oleh iman tuntasnya bersulamkan taqwa. Berdoalah kepada Allah Taala yang membolak-balikkan hati, supaya diteguhkan hati dalam agama dan ketaatan kepada-Nya.