Elaun perkhidmatan kritikal dimansuhkan bermula 2020

Iman MAS 25-Dis-2019

Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada doktor, jurutera dan profesional lain bakal ditamatkan bermula bulan depan. Namun, perkara ini hanya terpakai kepada pegawai yang menyertai perkhidmatan awam bermula 1 Januari 2020. BIPK dikekalkan kepada pegawai yang berkhidmat sebelum tarikh kuatkuasa.

Pemansuhan elaun ini diumumkan dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember. BIPK merupakan salah satu daripada sembilan elaun yang akan dimansuhkan kerajaan. Selain BIPK, elaun keraian kepada Setiausaha Sulit dan insentif kecekapan berbahasa Inggeris turut dimansuhkan.

Menurut soalan lazim yang disertakan, elaun perkhidmatan kritikal berjumlah 5-15% berdasarkan gaji asas penerima. Jururawat menerima jumlah tertinggi dengan 15%. Kadar rata sebanyak RM750 pula diterima pegawai perubatan, ahli farmasi dan pensyarah.

Elaun kritikal diperkenalkan kerajaan pada tahun 1992 untuk pekerjaan yang sukar diisi dan memiliki pengambilan yang rendah. Namun, tinjauan pada 2019 mendapati bahawa pekerjaan-pekerjaan terlibat tidak lagi memenuhi kriteria tersebut. Dengan itu, jawatankuasa kabinet mengenai perkhidmatan awam memutuskan penghapusan elaun tersebut untuk pekerja baru.

Mengulas pemansuhan berkenaan pada ciapan di Twitter, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad hanya mampu mengeluh, “Aduuh!”. Menerusi ciapan di Twitter, Menteri Belia dan Sukan pula mengkritik langkah berkenaan. Menurut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bayaran elaun yang sepatutnya dikaji semula adalah elaun kepada ahli politik dan menteri seperti beliau.

Beliau juga berikrar untuk mengurangkan jumlah cuti tahunan dan memulangkan setiap sen elaun percutian yang diterima. Dalam perkembangan sama, bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyindir ciapan Syed Saddiq tersebut. Dalam hantaran di Facebook, Najib meminta Syed Saddiq supaya menegur jemaah menteri melalui pesanan WhatsApp.

Najib turut mempersoalkan tentang elaun perkhidmatan kritikal untuk doktor dalam perkhidmatan awam yang dimansuhkan. Tetapi dalam masa yang sama, klinik swasta bebas menetapkan bayaran yuran konsultasi. Beliau menyatakan kegusaran akan situasi klinik dan hospital kerajaan kekurangan doktor dan jururawat. Jadi, rakyat perlu pergi ke klinik atau hospital swasta yang telah dinaikkan caj.