Ella & Suami Sertai Misi Bantuan Kemanusiaan Di Lubnan

Ratu rock negara, Ella dan suami Kapten Azhar telah dipilih sebagai ikon kemanusiaan oleh badan bukan kerajaan, Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) di mana mereka berdua akan dibawa ke kem pelarian rakyat Syria dan Palestin yang terletak di Lubnan.

Sehubungan dengan itu, satu kempen derma telah dilancarkan oleh KKB iaitu kempen #1follower1ringgit untuk mengutip dana yang akan disalurkan kepada pelarian-pelarian di sana.

Dianggarkan hampir 10 juta pelarian Palestin dan Syria keluar mendapatkan pelindungan di negara-negara jiran. 1.5 juta pelarian Syria dan hampir 285,000 pelarian Palestin kini hidup sebagai pelarian di Lubnan.

Disebabkan penambahan bilangan pelarian yang semakin meningkat, maka lebih banyak dana diperlukan untuk keberlangsungan hidup mereka. Kebanyakan mereka mengalami masalah kekurangan bekalan makanan. Status pendidikan dan kesihatan juga turut terjejas teruk.

Sasaran kempen ini adalah untuk mengutip dana sebanyak RM500,00 bagi menampung segala keperluan yang diperlukan. Pemilihan Ella dan Kapten Azhar sebagai ikon kemanusiaan kempen ini juga diharap dapat menarik lebih ramai individu untuk menghulurkan derma.

Ella sewaktu ditemui ketika sidang media berkata, sudah lama beliau memasang niat untuk membantu pelarian-pelarian di negara yang mengalami konflik peperangan itu.

“Beberapa tahun lepas, Ella pernah kumpul semua baju-baju sejuk yang Ella ada tak kisah lah berjenama atau tidak untuk disumbangkan kepada pelarian di sana. Sebelum ini pun Ella pernah bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan yang membawa misi seperti ini. Cuma kali ini Ella dilantik sebagai wakil untuk KKB”, jelasnya.

Tambah Ella lagi, hatinya cukup tersentuh apabila melihat pelarian terutamanya wanita dan kanak-kanak yang serba serbi kekurangan sehingga menitiskan air mata.

Ella juga berharap agar pemilihannya sebagai ikon kemanusiaan misi ini dapat menarik orang ramai untuk memberikan sumbangan serta menimbulkan sedikit rasa tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan.

Ella dan suami akan berangkat ke kem pelarian di Lubnan pada 26 hingga 30 April 2019 untuk melihat dan memberi bantuan sendiri kepada mereka yang memerlukan.

Salam Today mendoakan semoga perjalanan Ella bersama suami serta KKB ke Luban sentiasa dilindungi Allah dan dipermudahkan segala urusan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen atau program KKB, sila layari laman sesawang rasmi KKB iaitu www.kkb4u.org atau hubungi KKB di talian tetap 03-2181 7552. Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan, salurkan sumbangan anda ke nombor-nombor akauan berikut atas nama :

KEDAMAIAN KEMANUSIA BERHAD

Maybank – 5571 5731 5233

Bank Islam – 140140 101 52198

RHB – 2641 330 0023 705