Emma Alam, gadis muslim juara Pertandingan Memori Dunia Ke-29

Terkenal Md Wa'iz
Terkini
Emma Alam, gadis muslim juara Pertandingan Memori Dunia Ke-29
Emma Alam, gadis muslim juara Pertandingan Memori Dunia Ke-29 © worldmemorychampionships.com

Baru-baru ini, seorang gadis Muslim dari Pakistan iaitu Emma Alam telah merekodkan satu pencapaian yang sangat membanggakan.

Apakah pencapaian yang banyak diwar-warkan oleh pihak media seluruh dunia itu?

Emma Alam menang pertandingan memori dunia

Emma Alam telah mencatatkan kemenangan yang membanggakan buat negaranya selepas dia berjaya menjuarai 29th World Memory Championship. Dia telah menewaskan lebih daripada 300 peserta yang datang dari seluruh negara di dunia.

Dalam pertandingan yang telah berlangsung selama tiga hari itu, Emma telah bertanding dalam 10 disiplin pertandingan berkaitan dengan memori otak.

Dalam pertandingan kali ini, Emma bukan sahaja menjadi juara pertandingan, tetapi juga berjaya memecahkan beberapa rekod dunia. Dia bersama rakan sekumpulan yang mewakili Pakistan berjaya merekodkan rekod dunia yang baharu dan diiktiraf oleh Guinness World Records.

Sedikit fakta mengenai World Memory Championship

Sejarah mengenai World Memory Championship ini bermula seawal tahun 1991. Pada ketika itu, seorang penulis Inggeris iaitu Tony Buzan serta wartawan Inggeris, Raymond Keene telah mencadangkan satu pertandingan memori dunia. Tujuannya adalah untuk melihat bakat serta kemampuan memori otak manusia dari seluruh dunia.

Untuk pengetahuan anda, Raymond Keene kini menjawat jawatan sebagai Global President bagi World Memory Sports Council. Bukan itu sahaja, beliau juga ialah seorang Grandmaster of Chess dan pernah menerima darjah Officer of the Order of the British Empire daripada Ratu Elizabeth.

Peserta dalam pertandingan ini akan bertanding dalam pelbagai kategori atau disiplin. Antaranya memori yang terbaik, memori terpantas dan memori paling tajam.

Bagi penganjuran World Memory Championship kali ke-29 ini, ia terpaksa diadakan secara dalam talian disebabkan penularan wabak COVID-19. Peserta termuda dalam acara kali ini berumur 8 tahun manakala yang paling tua pula berusia 72 tahun.

Pencapaian Emma Alam sebelum ini

Sebelum menyertai pertandingan memori dunia terbesar ini, Emma Alam sudah banyak menyertai pertandingan yang serupa sebagai latihan untuknya.

Antara pertandingan yang telah disertainya sebelum ini ialah:

  • 3rd Asia Pacific Memoy Championship di Malaysia
  • 28th World Memory Championship di China

Bukan hanya untuk Pakistan, tetapi juga dunia Islam

Pencapaian yang dicapai oleh Emma Alam ini bukan hanya membanggakan Pakistan, tetapi juga dunia Islam. Ini kerana, imej bertudung yang menampilkan penampilannya sebagai seorang Muslim berjaya menunjukkan kecerdasan anak-anak orang Islam di mata dunia.

Jelas sekali, pemakaian tudung tidak langsung mempengaruhi kecerdasan akal seorang manusia kerana yang ditutup hanyalah aurat, bukanlah kepintaran akal.

Tahniah diucapkan kepada Emma Alam!