Emosi – cabaran dan perubahan

Kehidupan Hagnas 31-Ogo-2020
dreamstime_xs_172763741
Kawal emosi ketika bersama anak-anak © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Bila emosi anak terganggu, elakkan emosi kita ikut terganggu kerana situasi hanya akan menjadi lebih haru. Selain perubahan sikap atau perasaan dalaman anak mahupun diri kita yang kita harapkan untuk mengawal emosi, sedikit tindakan boleh mengawal emosi kita.

Ya, beberapa perbuatan luaran fizikal atau badan kita mampu mengawal emosi, dengan izin Allah SWT. Seperti saranan Nabi SAW, antaranya diam sahaja. Jangan layan emosi. Sabda Baginda: “Apabila seseorang daripada kamu marah, maka diamlah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ya, senangkan? Diam sahaja. Tidak jatuh maruah kita dengan berdiam diri saat-saat emosi terutamanya emosi anak terganggu. Tapi mungkin iman kita jatuh saat kita mula meninggi suara bila emosi anak terganggu, hingga mereka meragam.

Bila emosi memuncak saat bersama anak-anak, memang sangat perlu dielak. Kaitan emosi dan perbuatan sangat rapat, walaupun emosi itu dari hati dan perbuatan itu dari anggota. Sebagaimana emosi boleh mempengaruhi tindakan kita kepada anak-anak, tindakan kita juga boleh mendidik emosi kita supaya lebih stabil.

Antara saranan tindakan seterusnya yang boleh kita lakukan saat emosi memuncak ialah sebutkan kata-kata yang baik. Antara kata yang paling indah saat kita marah ialah ta’awuz iaitu mohon perlindungan dengan Allah SWT daripada Syaitan.

Daripada Sulaiman bin Sard: Aku telah duduk bersama Nabi SAW, lalu dua orang lelaki sedang bergaduh. Salah seorang daripadanya menjadi marah mukanya dan nampak urat lehernya, maka Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya aku benar-benar ingin mengajar satu kalimah yang jika dikatakan olehnya (lelaki yang marah itu) nescaya akan pergilah darinya apa yang lakukan (iaitu kemarahannya), iaitu jika dia berkata a’uuzubillaahi minas syaitaanirajiim (aku berlindung dengan Allah daripada Syaitan yang direjam), maka akan pergilah apa yang dia lakukan (kemarahannya) darinya.” (HR Imam Bukhari)

Biasakan diri dengan kata-kata yang baik, terutamanya zikir sebegini iaitu seperti dalam hadis yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.