Enam aktiviti bersama keluarga sepanjang tempoh PKP

Suka Chan Abdullah 27-Apr-2020
dreamstime_xs_169542598
Ziarah amat digalakkan tetapi elakkan tiga waktu ini © Tang90246 | Dreamstime.com

Hari ini kita sudah memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Rutin normal sebelum ini sekarang mungkin sudah ditukar kepada rutin yang baharu. Ketika artikel ini ditulis juga, Perdana Menteri baru mengumumkan bahawa PKP kini disambung sehingga 12 Mei 2020.

Ibu bapa boleh mengambil peluang tempoh PKP ini untuk meluangkan masa berharga bersama anak-anak di rumah. Sebagai ibu bapa, pastinya kita tidak mahu anak-anak menghabiskan masa menghadap peranti dan televisyen sahaja sepanjang hari. Jika anda masih tercari-cari aktiviti untuk dilakukan bersama keluarga, anda  boleh ambil inspirasi dari senarai di bawah.

  • Memasak bersama-sama keluarga. Jika sebelum ini tugasan memasak di rumah lebih sinonim untuk kaum ibu, kali ini biar semua ahli keluarga terlibat sama. Ibu-ibu yang sudah berpengalaman menguruskan masakan bolehlah membahagikan tugasan untuk ahli keluarga.
  • Ayah dan anak-anak lelaki boleh menguruskan urusan persiapan memasak seperti memotong dan mencuci bahan masakan. Anak-anak perempuan boleh membantu ibu menyediakan masakan dan menghidangkan makanan. Insya-Allah, makin bertambah enak hasil masakan yang disediakan nanti. Selain mengeratkan hubungan, ianya juga mengajar anak-anak konsep bekerjasama sebagai satu pasukan.
  • Luangkan masa untuk bermain permainan keluarga bersama-sama. Pelbagai aktiviti permainan boleh dilakukan. Anda boleh bermain dam, catur, tudung ceper dan lain-lain lagi bersama keluarga. Pasti banyak permainan-permainan nostalgia zaman persekolahan yang boleh diperkenalkan kepada anak-anak anda.
  • Ambil peluang untuk solat berjemaah bersama-sama keluarga. Salah satu rahmat besar PKP ini ialah kita berpeluang mengerjakan solat jemaah bersama-sama keluarga setiap hari. Untuk ibu bapa yang mempunyai anak lelaki, sekali-sekala bolehlah latih mereka untuk mengimamkan solat. Pada bulan Ramadan, teruskan aktiviti solat tarawih berjemaah pula. Jika berkesempatan, bolehlah tambah lagi aktiviti bacaan hadis dan juga tadarus al-Quran bersama-sama.
  • Mendidik anak-anak bermain sambil belajar. Terdapat pelbagai aplikasi bermain sambil belajar yang terdapat di internet. Antara yang sangat menarik perhatian ialah Wordwall. Anda boleh akses aplikasi wordwall ini melalui laman web https://wordwall.net . Aplikasi ini dibangunkan bagi membantu guru-guru menyediakan bahan bantuan pembelajaran terutamanya bagi murid-murid sekolah rendah. Terdapat pelbagai kuiz dan permainan ringkas dalam pelbagai subjek. Ia juga relevan untuk seisi keluarga dan anda boleh manfaatkan aplikasi ini untuk bermain sambil belajar bersama-sama. Lebih menarik, setiap permainan ini mempunyai markah, jadi bolehlah bertanding sesama ahli keluarga.
  • Mengemas rumah bersama-sama. Waktu PKP ini adalah masa yang paling sesuai untuk mengemas rumah bersama ahli keluarga. Rumah yang bersih dan jauh daripada ancaman kuman dan bakteria mengurangkan risiko untuk keluarga anda jatuh sakit.

Insya-Allah, masa berkualiti yang diluangkan bersama keluarga, menjadi asbab keluarga kita diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.