Enam aplikasi Al-Quran bantu belajar bacaan

Suka Chan Abdullah 13-Mei-2020
Aplikasi Al-Quran mesra pengguna © Fajri Hidayat | Dreamstime.com

Ramadan kali ini amatlah berbeza berbanding Ramadan yang pernah kita lalui sebelum ini. Jika dulu, kita berpeluang bertadarus Al-Quran di masjid dan juga surau. Ada ustaz dan Imam yang boleh memperbetulkan bacaan Al-Quran kita. Tetapi sekarang kita hanya boleh bertadarus di rumah.

Namun ianya bukanlah alasan untuk tidak membaca Al-Quran langsung. Anda juga masih boleh membaca Al-Quran secara bertartil dengan memanfaatkan bantuan teknologi. Pelbagai aplikasi yang ada di dalam talian dapat membantu anda membaca Al-Quran dengan lebih baik.

  • Learn Quran Tajwid – Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Play Store Google. Aplikasi ini dibangunkan bagi membantu pengguna mempelajati ilmu tajwid asas. Aplikasi ini juga mempunyai kemudahan suara bagi memudahkan pengguna. Aplikasi ini turut dilengkapi dengan ujian bagi mengenal pasti tahap kefahaman pengguna berkenaan ilmu tajwid.
  • Muslim Pro – Ini adalah salah satu aplikasi yang paling popular dan telah mendapat banyak muat turun. Aplikasi ini mempunyai kemudahan suara dan bacaan Al-Quran dari qari terpilih. Selain itu, aplikasi ini juga turut mengandungi pelbagai fungsi lain seperti waktu solat.
  • Ayat Al-Quran – Aplikasi ini telah dibangunkan oleh Universiti King Saud, Arab Saudi. Aplikasi ini mempunyai salinan digital lembaran sebenar Al-Quran yang telah dicetak, dan juga versi yang sama beserta hukum tajwid. Himpunan bacaan Al-Qurannya adalah dari qari-qari terkenal seluruh dunia.
  • Bayan Quran – Aplikasi ini terdapat di Apple dan juga Play Store Google. Aplikasi Bayan Quran ini adalah salah satu aplikasi Al-Quran dengan paparan tercantik yang pernah dihasilkan. Ia mempunyai fungsi suara dan pengguna boleh belajar membaca dengan betul melalui bacaan 17 qari terpilih.
  • Mushaf Tajweed – Holy Quran – Aplikasi ini didatangkan dengan paparan berwarna-warni berdasarkan hukum tajwid. Aplikasi ini tidak mempunyai fungsi suara. Ciri khas aplikasi ini ialah ia akan memaparkan muka surat akhir yang telah dibuka, jadi pengguna tidak perlu ingat muka surat akhir yang telah dibaca.
  • Quran Majeed – Aplikasi ini mengandungi himpunan bacaan qari-qari terkenal bagi membantu anda membaca Al-Quran dengan tartil. Turut mengandungi pelbagai fungsi lain seperti kalendar Hijrah.

Begitulah enam aplikasi yang sesuai berfungsi sebagai Al-Quran digital anda yang dapat membantu memperbaiki bacaan Al-Quran. Sama-samalah kita berdoa untuk terus istiqamah membaca Al-Quran setiap hari dengan tartil. Semoga kita dapat menjalankan kehidupan dengan lebih baik berpandukan Al-Quran dan hadis Nabi.