Enam langkah menabung secara konsisten untuk menunaikan Umrah

Islam untuk Pemula Siti Nur Baiin Che Harun
Terkini oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Enam langkah menabung secara konsisten untuk menunaikan Umrah
Enam langkah menabung secara konsisten untuk menunaikan Umrah © Ayman Zaid | Dreamstime.com

Artikel ‘Enam langkah menabung secara konsisten untuk menunaikan Umrah’ ini mencadangkan beberapa langkah berkesan dalam membantu proses penyediaan simpanan untuk mengerjakan umrah.

Setiap orang mempunyai matlamat untuk menunaikan umrah di usia yang muda. Ini adalah berdasarkan faktor kesihatan, komitmen dan masa. Oleh itu, mari sama-sama lihat apakah enam langkah yang berkesan dalam proses membuat simpanan wang atau menabung untuk mengerjakan umrah.

Enam langkah menabung secara konsisten untuk menunaikan Umrah

Biasanya apa yang kita kehendaki dan impikan, kita akan berusaha lebih supaya kita dapat menggapainya. Sama seperti impian untuk menunaikan umrah, kita perlu konsisten membuat simpanan. Kita perlu lakukan beberapa langkah seperti di bawah:

1. Menanam tekad yang mendalam menuju Umrah

Islam amat menggalakkan ummatnya supaya tekun dan bersungguh-sungguh dalam mengerjakan sesuatu perkara yang baik. Kita perlu menanam tekad yang mendalam untuk menunaikan umrah.

Daripada Aisyah r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”

(Hadis Riwayat Abu Ya’la dan At-Thabrani)

2. Niat menabung yang jelas

Niat menabung yang jelas sangat penting untuk kita lebih konsisten menabung. Kita mesti jelas apakah misi terakhir kita. Niat asal kita adalah untuk menuju ke Baitullah menunaikan ibadah umrah. Bukan senang untuk konsisten dalam menabung.

Niat ini mestilah bersekali dengan tindakan dan usaha. Ia hendaklah direalisasikan dengan tindakan bukan hanya ucapan yang hanya meniti di bibir shaja. Jika kita sendiri tidak tahu bagaimana menguruskan wang perbelanjaan seharian kita, ia tidak membantu merealisasikan impian dan hasrat asal.

3. Hala tuju dan matlamat menabung yang jelas

Hala tuju dan matlamat menabung hendaklah jelas.  Setelah kita menanam niat untuk menuju Baitullah, biasanya Allah SWT hadirkan perasaan yang tidak sabar untuk ke sana. Adakalanya sehingga bermimpi berjalan di dataran Kaabah. Hala tuju yang jelas ini akan membuatkan seseorang itu lebih konsisten menabung.

4. Sedia catatan kewangan yang konsisten

Kita perlu membuat catatan keluar masuk kewangan supaya kita tahu trek belanjawan harian dan bulanan kita. Ini memudahkan untuk membuat kiraan dan tidak membuat pembelian atau berbelanja kepada perkara yang tidak sepatutnya.

5. Menetapkan pelan simpanan

Dalam tekanan komitmen yang kita hadapi, penetapan pelan simpanan mestilah dibuat. Ini penting bagi mengekalkan konsistensi menabung setaip bulan dalam mencapai jumlah yang diinginkan.

6. Perbanyakkan bersedekah

Selain mengawal membuat catatan keluar masuk wang, kita dianjurkan dalam Islam supaya banyak bersedekah. Ini kerana, dengan bersedekah Allah Taala akan menggantikannya dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Kelebihan bersedekah tidak akan menfakirkan seseorang itu. Dengan bersedekah, kita akan rasa lebih tenang dan bahagia. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 274 yang bermaksud:

“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”