Epik Raja Iskandar Zulkarnain

Gambaran ceritera Iskandar Zulkarnain dalam kesusasteraan Arab-Parsi © Steve Estvanik | Dreamstime.com

Karya sejarah yang berunsur kepahlawanan dan Islam yang dihasilkan untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat amat baik dan dituntut oleh Islam. Ia menjadi panduan kepada khalayak dalam menjalin hubungan dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas).

Hikayat Iskandar Zulkarnain merupakan sebuah epik Melayu yang disadur daripada kesusasteraan Arab-Parsi. Popularitinya pada abad ke-15 di alam Melayu setanding epik-epik lain dari Timur Tengah seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiyah.

Karya ini mendapat sambutan daripada masyarakat Melayu-Islam Nusantara ketika itu memandangkan watak utamanya terkait langsung dengan Zulkarnain, nama yang disebut  dalam al-Quran, surah al-Kahfi, ayat 83 hingga 101.

Hikayat Iskandar Zulkarnain merupakan sebuah epik Islam yang mengangkat watak utamanya, Raja Iskandar sebagai seorang wira dan diberi imej seorang raja yang adil, gagah dan berani. Permulaan hikayat ini mengisahkan asal usul dan kelahiran Raja Iskandar, anak Raja Darab Rumi dari Parsi.

Fizikalnya sempurna dan berwajah seperti bulan purnama. Bijaksana dan pernah berguru dengan Aristotle sewaktu kecil. Mahir bermain senjata khususnya memanah dan melembing, ilmu yang diwarisi daripada ayahnya.

Raja Iskandar  menaiki takhta kerajaan Rom menggantikan datuknya yang meninggal dunia dan seterusnya menyatukan kerajaan Rom serta Parsi apabila adiknya, Raja Dara yang memerintah Parsi terkorban dalam perang saudara.

Kejayaan menewaskan Raja Dara dan menyatukan kerajaan Rom-Parsi menyebabkan Raja Iskandar lupa daratan serta termakan hasutan iblis. Nabi Khidir a.s telah diutus oleh Allah SWT untuk mengembalikan Raja Iskandar daripada kesesatan. Usaha dan nasihat Nabi Khidir akhirnya berjaya menginsafkan Raja Iskandar.

Raja Iskandar kemudian memeluk agama Ibrahim dan bertekad menyebarkan Islam. Nabi Khidir a.s memberi beliau gelaran Zulkarnain yang bermaksud “Dia yang Bertanduk Dua” sempena tempaan berbentuk tanduk daripada permata yang dipakai oleh Raja Iskandar.

Sejak itu bermulalah kembara Raja Iskandar Zulkarnain dari timur ke barat untuk mewujudkan keadilan, menegakkan agama Allah SWT dan seterusnya menghapuskan kekufuran di muka bumi. Golongan yang ingkar diserang dan beliau tidak pernah kalah dalam setiap peperangan.

Antara wilayah yang dijelajahi beliau ialah Konstantinopal, Andalus, Rumiyar al-Akhbar, Mesir, Habsyi, China, Makkah dan Madinah. Misi menyebarkan Islam telah beroleh kejayaan dan ramai raja yang memeluk Islam seperti Raja Hawas, Raja Ghidakah dan Raja Sandebz.

Kemenangan yang diperoleh menentang kafir adalah hasil perlindungan Allah SWT dan doa Nabi Khidir a.s yang menjadi penasihat Raja Iskandar Zulkarnain.

Karya ini dianggap epik tertua di Alam Melayu malah telah wujud sebelum pembentukan Kesultanan Melayu Melaka iaitu pada abad ke-2.  Ia dikatakan disusun oleh seorang pujangga Arab bernama Al-Suri di Iskandariah.

Selain Al-Suri, nama Abdullah ibn Muqaffa juga disebut sebagai pengarangnya. Walau bagaimanapun, Winstedt membuat kesimpulan bahawa ia adalah hasil kumpulan cerita yang telah dikarang oleh lebih daripada seorang pengarang.

Sehingga kini, sebanyak 17 naskhah teks epik ini telah ditemui di pelbagai tempat di seluruh dunia. Antaranya di Kuala Lumpur, Jakarta, Leiden, Berlin, Paris, London dan Cambridge.