Erra Fazira Kongsi Pengalaman Haji

“Alhamdulillah, pengalaman Haji saya tidaklah seperti yang digambarkan sebelum ini. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, ramai yang beri jangkaan yang ibadah ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Jadi dari awal lagi saya sudah jangkaan sesuatu yang sukar, sesuatu yang berat. Tetapi apabila saya sampai di sana, semuannya dipermudahkan.

Ini adalah perjalanan ibadah yang sangat terindah dalam hidup saya,” ulas Erra Fazira yang baharu sahaja pulang daripada mengerjakan ibadah Haji baru-baru ini.

Tambah primadona filem Melayu ini lagi pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah ketika berada di Padang Arafah.

“Pengalaman wukuf di Arafah merupakan di antara pengalaman yang tidak saya dapat lupakan. Rasanya semuanya sudah sedia maklum, sudah 19 tahun hujan tidak turun di Arafah. Tetapi musim haji kali ini, bumi Arafah dibasahi hujan.

Waktu bermulanya waktu Arafah tempoh hari, saya dan jemaah lain nampak awan hitam, angin kuat  seperti mahu ribut dan ini membuatkan kami agak bimbang dan sedih kerana apabila hari hujan kami tidak boleh berada di luar (luar khemah), sedangkan pada waktu itu kita amat digalakkan untuk berdoa di luar khemah.

Apabila hujan turun saya terpaksa masuk ke khemah. Dengan waktu yang terhad, sememangnya saya berasa sedikit sedih. Mujurlah hujan hanya turun kira-kira satu jam setengah, dan selepas itu saya ambil peluang untuk berdoa di luar khemah.

Nikmat selepas hujan itu amat indah. Cuaca menjadi cukup sejuk walaupun sebelum itu cuacanya cukup panas,” ujar Erra yang tidak kisah jika ada yang ingin memanggilnya hajjah ketika ini.

Berkongsi tentang doa-doa yang dipohon ketika berada di sana, Erra memberitahu dia memohon agar Allah memberi kejayaan, kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Mengulas tentang karier lakonan , Erra menjelaskan yang dia akan terus bergiat dalam bidang seni itu kerana dia percaya pihak produksi memahami situasi semasa.

“Apabila saya mengambil keputusan untuk berhijab dahulu pun, lakonan saya sudah terbatas. Saya percaya pihak produksi memahami situasi ini. Saya tidak pernah bercadang untuk meninggalkan dunia lakonan kerana ini adalah sumber rezeki. Jika ditakdirkan saya berlakon sampai tua, saya akan terus berada dalam industri ini,” ujar Erra.

Dalam perkembangan lain, Erra akan muncul dengan filem ‘Wangi’ yang akan ditayangkan di pawagam bermula 5 September ini. Filem genre seram ini diarahkan oleh Mohd Latiff Zami dan  turut dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli.

Kredit foto : Instagram Erra Fazira