‘Eudaimonia’ Refleksi Peribadi Bono Stellar

Nawwar Shukriah Ali atau lebih dikenali sebagai Bono Stellar ialah satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang seni pelbagai disiplin.

Dalam karya lukisannya, seni instalasi dan fotografi, Bono menggabungkan rujukan dengan sejarah seni, memorinya sendiri, refleksi peribadi terhadap masa silam, masa kini dan masa depan, yang bersatu menjadi hasil karya terbaiknya.

Baru-baru ini, Bono menerusi pameran solo pertamanya, ‘Eudaimonia’, telah mengetengahkan pelbagai hasil karya yang merangkumi lukisan, instalasi dan fotografi.

Berasal daripada perkataan Yunani kuno, eudaimonia jika diterjemah secara harfiah membawa maksud ‘berkembang dengan baik’ atau ‘kesejahteraan’.

Bagi artis yang berasal dari Terengganu ini, beliau mengintepretasikan eudaimonia sebagai mencari kepuasan serta usaha untuk memberikan keadilan kepada potensi sebenar manusia menerusi kehidupan seharian.

‘Eudaimonia’ baginya adalah sesuatu yang mendamaikan, atau cuba untuk mendamaikan kerumitan hidup seorang manusia.

Ia merupakan satu tindak balas kepada perjuangan dalam usaha untuk membina legasi seseorang di dunia ini, dengan mengenepikan rasa gusar, meskipun dihimpit oleh masa silam serta masa depan yang tidak menentu yang terus berkait rapat dengan masa kini.

Dalam karya-karyanya yang diketengahkan, Bono menitikberatkan pencarian moden dengan menggunakan warna-warna yang cerah dan bahan-bahan pantul cahaya yang merupakan ciri unik yang terdapat pada kebanyakan hasil seninya, serta bentuk-bentuk geometri yang sentiasa kelihatan ceria.

Dengan sifat semulajadi kinetik bergerak, hasil karya seni tersebut memesongkan persepsi dan visi penonton, serta dalam masa sama mengeksploitasi pergerakan semula jadi udara di permukaan ruang, sekali gus mendefinisikan semula ruang yang dimiliki.

Bono ternyata amat berminat dengan hubungan rapat antara seni kinetik dan seni op. Kebimbangan dan kegelisahan turut diabadikan dalam karya bergeraknya yang berwarna-warni, indah dan tidak menentu.

Instalasi struktur berskala besarnya merupakan ekspresi dalam bentuk, cahaya dan teknik, disokong oleh latar belakang wanita ini dalam bidang seni bina memberi peluang kepadanya untuk bereksperimen dengan tema-tema seperti penyalahgunaan, pemesongan realiti, keimanan, kesihatan mental dan pembangunan dunia.

Merungkai persoalan bagaimana wanita kental ini boleh mendapat ilham yang begitu hebat sehingga berjaya menghasilkan karya-karya seni seumpama ini?

Bono merupakan anak kepada seorang guru seni. Bapanya meninggal dunia dua bulan selepas kelahirannya. Ketika usianya menjangkau 17 tahun, Bono kehilangan ibunya pula, dan semenjak itu, dia benar-benar belajar tentang erti berdikari terutamanya dari segi kewangan dan motivasi diri.

Dengan menyatukan sejarah seni bersama kisah silamnya, serta tentang bagaimana hikayat kehidupannya menjadikan dirinya seperti pada hari ini, kesemua itu terluah pada hasil karyanya.

Banyak terlibat dengan kerja-kerja iridescent film, cahaya, cermin dan kaca pleksi, matlamat Bono adalah untuk menghasilkan karya yang menzahirkan imaginasi dan derianya.

Pengasas kepada Stellar Design and Stellar Studio ini dalam karya-karyanya turut menceritakan tentang perjuangan peribadinya bersandarkan kepada identiti kontemporari wanita Melayu dan Malaysia – yang terdiri daripada gabungan kekuatan dan kelembutan, kental dan berdaya tahan.

Merujuk kepada konteks dan adat tempatan, ia digambarkan semula menggunakan teknologi interaktif.

Justeru itu, ‘Eudaimonia’ merupakan kemuncak kepada kisah kehidupan Bono, tentang bagaimana anak seni ini membesar, berkembang dalam kehidupan, mengubati hatinya daripada luka lama dan mencari hala tuju, kebahagiaan serta kepuasan dalam kehidupan sehariannya.

Foto: Stellar Studio, Bono Stellar.