Ewal & Akma Ubati Kerinduan Peminat Dengan ‘Masih Ada’

Jarang kita lihat bekas bintang program realiti paling popular suatu ketika dahulu, Akademi Fantasia (AF) yang berlainan musim digandingkan bersama sebagai pasangan duet.

Namun kini, single terbaharu, Masih Ada mempertemukan jodoh Ewal (pemenang tempat ketiga AF 2014) dan Akma Abdullah (peserta AF musim ketiga) sebagai pasangan penyanyi duet bagi mengubat kerinduan para peminat kedua-duanya.

Seperti kebanyakan lagu yang berpaksikan genre balada di pasaran muzik Malaysia, Masih Ada tidak lepas lari daripada mengangkat tema cinta sebagai sebuah karya lagu.

Namun, ia adalah sebuah kisah cinta yang tidak terluah apabila dua ikatan jiwa bimbang untuk menyuarakan isi hati sebenar dan lebih senang memendam rasa.

Tidak dinafikan ia adalah sebahagian daripada kisah cinta yang sering berlaku dalam kehidupan seharian kita, akan tetapi ia sama sekali jarang diketengahkan dalam karya-karya lagu balada.

Apa yang menariknya, Masih Ada, ciptaan Jaybon turut menampilkan Ewal sebagai penulis lirik.

Kata Ewal, idea  untuk menghasilkan lagu duet itu dicetuskan sendiri oleh komposer Jaybon di bawah syarikat produksinya, Jaybon Music Production.

“Projek menghasilkan lagu duet ini sudah dirancang sejak tiga bulan yang lalu. Pada awalnya, mereka ingin menggandingkan saya dengan penyanyi dari Singapura.

“Tapi akhirnya mereka berpendapat suara dan vokal Akma lebih sesuai dan serasi dengan saya dalam lagu seperti ini.

“Keserasian bersama Akma turut saya rasai sewaktu kami menjayakan rakaman suara bagi lagu ini,” ujar Ewal.

Sementara itu, Akma pula menyuarakan, dia tidak pernah terlintas di fikiran untuk berduet dengan Ewal menerusi Masih Ada.

“Apabila dapat bergandingan bersama dengan Ewal, ia adalah suatu penghormatan buat saya kerana saya mengenalinya sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa apabila dia menyertai World Championship of Performing Arts di Amerika Syarikat sebelum dia menyertai AF.

 

“Lagipun sudah 14 tahun saya tidak menghasilkan lagu duet. Kali pertama adalah bersama Felix menerusi lagu Bertakhta Di Hati yang digabungkan dengan Antara Mataku dan Mataku.

Masih Ada bagi saya punya kekuatan yang tersendiri. Ia memiliki soul,” ujar Akma.

Dia turut mengakui tidak mudah untuk menyanyikan lagu tersebut.

“Tapi, abang Jaybon dan Ewal banyak membantu dari sudut nyanyian.

“Saya berharap lagu duet kami ini akan diterima serta mampu melonjakkan semula nama kami berdua di persada seni suara,” kata Akma.

Adakah mereka bakal menjadi pasangan duet yang berjaya serta mampu memberikan impak kepada industri muzik Malaysia?

Anda nilaikan sendiri kehebatan lagu dan paduan vokal Ewal dan Akma.

 

Foto: Jon Ramlan