Fadilat Al-Quran dan pembacanya

Agama Hanita Hassan 20-Mei-2020
Al-Quran kitab suci Islam © Diego Grandi | Dreamstime.com

Bulan Ramadan dikenali juga sebagai Syahrul Quran iaitu Bulan Al-Quran kerana ia diturunkan pada 17 Ramadan. Setiap tahun Nuzul Quran disambut dengan pelbagai majlis khatam dan tadarus untuk meraikan sejarah turunnya Al-Quran.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran: “Bulan Ramadan itu ialah padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia dan menjadi penjelasan antara yang hak dan yang batil.”  (Surah al-Baqarah, 185)

Biasanya apabila tibanya Ramadan, kita akan mengambil peluang menghidupkannya dengan membaca Al-Quran.  Fadilat atau kelebihan membaca Al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama jika membacanya pada bulan yang lain.

Walaupun membaca Al-Quran tidak wajib, tetapi hukumnya sunat.  Apabila kita membaca Al-Quran pada bulan Ramadan, ganjarannya ibarat seperti kita melakukan amalan wajib pada bulan-bulan yang lain.

Mungkin ada kalangan kita yang suka membaca Al-Quran tetapi tidak tahu fadilatnya.  Kita perlu mengambil tahu kelebihannya supaya memberi motivasi dan semangat untuk terus mendampinginya.

Orang yang membaca Al-Quran mendapat penghormatan dari Rasulullah SAW. Berikut adalah kelebihan membaca Al-Quran di dunia bagi mereka yang membacanya:

Diiktiraf sebagai sebaik-baik manusia.  Daripada Uthman bin Affan r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” [Hadis riwayat al-Bukhari (5027)]

Allah SWT mengangkat martabat pembaca Al-Quran.  Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan  martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”.  (HR Muslim)

Al-Quran dengan sendirinya melayakkan seseorang itu menjadi seorang imam atau ketua. Hadis daripada Ibn Masood r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling layak mengimami kaum dalam sembahyang ialah mereka yang paling fasih membaca Al-Quran.”  (HR Muslim)

Al-Quran menjadi penyembuh segala penyakit rohani dan jasmani.  Firman Allah SWT dalam Al-Quran:  “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra’a, 82). Contohnya surah Al-Fatihah, ayat seribu manfaat yang boleh digunakan  menyembuhkan semua penyakit dengan izin Allah SWT.

Allah menurunkan ketenangan bagi orang yang membaca Al-Quran.  Sekiranya kita   berdepan dengan ragam dan kerenah isteri atau suami yang panas baran atau perangai anak-anak yang tidak terkawal, maka solusinya ialah membaca Al-Quran.

Kelebihan membaca Al-Quran yang dapat dibuat sebagai bekal di akhirat pula ialah ia akan menjadi syafaat kepada pembacanya. Al-Quran juga akan membela orang yang membacanya. Selain mendapat pahala yang berlipat ganda, Allah SWT akan tingkatkan kedudukan mereka.

“Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”. [Hadis riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)]

Sesungguhnya, cara untuk menjadikan hati bersinar semula adalah dengan membaca Al-Quran yang mulia. Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang mencintai dan melazimi Al-Quran serta beramal dengannya di penghujung Ramadan tahun ini.