Fadilat puasa sunat Syawal – ayuh berpuasa enam!

Islam untuk Pemula Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Fadilat puasa sunat Syawal - ayuh berpuasa enam!
Fadilat puasa sunat Syawal - ayuh berpuasa enam! © Sorapop Udomsri | Dreamstime.com

Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, pujuk dan didik diri untuk mengekalkan momentum dalam melakukan ibadah. Galakkan keluarga dan hidupkan sunah Rasulullah SAW dalam amalan seharian.

Ajaklah keluarga dan sama-sama beri peringatan untuk berpuasa enam di bulan Syawal ini.

Fadilat puasa sunat Syawal

Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.”

(Surah al-i ‘Imran, ayat 104)

Rasulullah SAW juga menjelaskan usaha menyebarkan kebaikan menerusi sabdanya bermaksud:

“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.”

(Hadis riwayat Muslim)

Antara sunah Rasulullah SAW dalam bulan Syawal adalah Puasa Enam.

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya seolah-olah berpuasa setahun.”

(Hadis riwayat Muslim)

Manfaat Puasa Enam

Berikut dikongsikan beberapa manfaat berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal.

Pahala sama dengan puasa selama satu tahun

“Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari (puasa) Syawal maka ia adalah seperti (pahala) puasa Ad-Dahr (setahun).”

(Hadis riwayat Al-Bukhari, no. 6502)

Puasa pada bulan Syaaban dan Syawal menyempurnakan puasa Ramadan 

Seperti amalan ibadat solat sunat, hukum berpuasa pada bulan Syawal adalah sunat. Akan tetapi ia mampu menyempurnakan serta menutupi kekurangan ibadah yang wajib.

Sekiranya puasa kita di bulan Ramadan tidak sempurna (kerana Allah sahaja Yang Maha Mengetahui), maka Puasa Syawal akan menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan.

Antara bukti puasa Ramadan seseorang diterima Allah SWT

Al-Hafiz Ibnu Rajab Rahimahullah berkata:

“Sesungguhnya Allah apabila menerima amalan seorang hamba, maka Allah memberikan kemampuan kepadanya untuk beramal soleh lagi setelahnya sebahagian kata sebagian ulama: Ganjaran kebaikan adalah kebaikan setelahnya, barangsiapa melakukan suatu kebaikan kemudian ia ikutkan dengan kebaikan yang lain maka itu adalah tandanya diterimanya amal kebaikannya yang sebelumnya sebagaimana orang yang melakukan kebaikan kemudian ia ikutkan dengan kejelekan maka itu adalah tanda ditolaknya kebaikan yang telah ia kerjakan dan tidak diterima.”

Antara bukti syukur kita kepada Allah Taala

Dengan berpuasa di bulan Syawal, ia merupakan tanda kita bersyukur di atas segala nikmat kurniaan dan anugerah yang Allah SWT berikan pada bulan Ramadan seperti malam terbaik Malam Lailatul Qadar, nikmat berqiamullail dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Sahabat Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

Siapa saja yang menghidupkan malam hari bulan Ramadan dengan dasar iman, dan berharap pahala dan ridha Allah, maka dosanya yang lalu akan diampuni.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bukti keikhlasan dan tidak terputus amal soleh sepanjang Ramadan

Walaupun bulan Ramadan telah pun berlalu pergi, tidak bermakna amalan kita juga berakhir. Teruskan beramal soleh dengan amalan-amalan sunat supaya jiwa kita terdidik dan terjaga dalam rahmat Yang Maha Esa.

Ayuh sama-sama kita rebut peluang ini dalam mengejar manfaat yang tiada pada bulan lain.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.