Fahami batas mencintai keduniaan

Kehidupan Hanita Hassan 03-Jun-2020
Bijak dalam urusan seharian © Ahmad Zaihan Amran | Dreamstime.com

Dalam banyak penyakit di dunia, yang paling bahaya dan membinasakan kita sebagai manusia ialah penyakit cinta dunia.  Kita mencintai harta dan pangkat, kita juga bersifat bakhil dan lupa kepada negeri abadi iaitu akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Barangsiapa yang (menjadikan dunia tujuan utamanya maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya dan menjadikan kemiskinan / tidak pernah berasa cukup (selalu ada) di hadapannya padahal dia tidak akan mendapatkan (harta benda) duniawi melebihi daripada apa yang Allah telah tetapkan baginya.

Dan barangsiapa yang (menjadikan) akhirat niat (tujuan utamanya) maka Allah akan menghimpunkan urusannya, menjadikan kekayaan / selalu berasa cukup (ada) dalam hatinya dan (harta benda) duniawi datang kepadanya dalam keadaan rendah (tidak bernilai di hadapannya).” (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan Ad-Darimi)

Orang yang cinta dunia selalu mengagungkan dunia padahal dunia itu hina.  Dia berasakan dengan mendapat dunia, dia menjadi mulia.  Mereka ini akan bermati-matian mempertahankan tindakannya mengejar dunia dan menganggap orang yang mendapat dunia dikira mendapat kemuliaan.

Rasulullah SAW menerangkan kepada kita salah satu sifat keji yang ada pada kebanyakan manusia adalah sifat tamak dan rakus terhadap harta.  Mereka sentiasa tidak pernah berasa puas dengan apa yang ada atau yang menjadi miliknya.

Orang begini selalu berangan-angan atau bercita-cita memperolehi harta yang lebih banyak walaupun sedar  akan menemui ajal.  Perkara yang hanya boleh menahan nafsu tamak ialah maut.  Apabila kita dikebumikan dan perut dipenuhi dengan tanah kubur.  Ini dibuktikan dengan peristiwa dan kisah benar tentang Qarun dan Haman, orang yang paling kaya pada zaman Nabi Musa AS.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka dan kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat.  (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang terlalu membangga diri.”  (Surah Al-Qashash, ayat 76)

Harta juga boleh menjadi fitnah dan ujian kepada pemiliknya.  Sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanya menjadi ujian dan di sisi Allah jua pahala yang besar.”  (Surah At Taghaabun, ayat 15)

Orang yang cinta dunia akan menjadikan dunia itu tujuan padahal dunia ini hanyalah wasilah (pertalian) untuk menuju negeri akhirat.  Justeru dalam mengejar dunia, usahlah kita melanggar batas agama, halal mahupun haram.   Ketahuilah bahawa semua yang kita kejar dan kumpul itu akan disoal di akhirat kelak.