Fahami risiko bencana melalui Daftar Risiko Kebangsaan

Kehidupan Hafiz Firdaus 29-Jan-2020
Banjir
© Yanyanyan881 | Dreamstime.com

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Daftar Risiko Kebangsaan (NRR) akan dihasilkan untuk memahami risiko bencana. NRR akan digunakan sebagai instrumen dalam membuat keputusan seperti projek pembangunan, program pengurangan bencana dan operasi menyelamat di Malaysia.

Daftar ini dibangunkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Nasional (NADMA) selaras dengan keperluan antarabangsa untuk memahami risiko bencana. Ini termasuk maklumat tentang haluan kecenderungan bencana, populasi dan kegiatan ekonomi berisiko seperti kilang kimia dalam melihat kesan bencana yang mungkin terjadi.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada NADMA, Dr. Wan Azizah yang ditemu bual bersama Bernama dan RTM berhubung hala tuju NADMA di pejabatnya berkata, perkara ini juga akan memperkasa Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) yang merupakan salah satu strategi dalam membina NADMA sebagai pusat rujukan bencana.

NADMA turut menggariskan lapan lagi fokus untuk dilaksana pada tahun ini termasuk pengurangan risiko bencana sebagai teras pembangunan negara. Ini termasuk memastikan bahawa dasar berkaitan bencana dimasukkan dalam merumus dan menggubal dasar negara seperti Rancangan Malaysia ke-12 dan dasar di kementerian dan jabatan.

NADMA juga akan menumpukan kepada penyelarasan projek-projek pencegahan dan peredaan bernilai rendah tapi berimpak tinggi dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan di semua peringkat. Di samping itu, tumpuan khusus kepada penyepaduan sains dan teknologi dalam pengurusan bencana adalah termasuk pengurusan bencana yang inklusif dengan mengambil kira golongan berkeperluan khas, pengupayaan komuniti dalam pengurusan bencana, pemantapan pengurusan logistik dan mengukuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).