Faizal Tahir Hadir Bersama ‘Ratu’

Buah tangan terbaru daripada penyanyi dan komposer tersohor, Faizal Tahir sememangnya dinantikan-nantikan oleh peminat.

Bagi yang mengikuti perkembangan karier Faizal di sosial media, pasti anda sudah dapat menjangkakan figura ini bakal muncul dengan projek terbaru.

Ini kerana, bermula 17 Jun lalu, Faizal sudah mula mengacah peminat dengan sebuah video demo yang dimuat naik ke saluran YouTube Faizal Tahir.

Setelah hampir seminggu membiarkan peminat berteka-teki, hari ini akhirnya Faizal melancarkan single terbarunya berjudul ‘Ratu’ secara rasmi.

Dalam kenyataan media yang dihantar oleh Warner Music Malaysia, Faizal dikatakan mengambil masa lima 5 tahun untuk menyiapkan lagu ini.

Malah, pelantun lagu ‘Ragaman’ ini juga menukar gubahan muzik sebanyak enam kali. Single ‘Ratu’ ini merupakan lagu balada pertama selepas dua tahun.

Faizal dan pasukan produksi muziknya sememangnya sinonim dengan keberanian bereksperimentasi dalam menghasilkan sajian muzik yang unik.

Kali ini ‘Ratu’ menampilkan gubahan muzik bertunjangkan irama balada piano yang diberi sentuhan elemen kontemporari yang menjadikan lagu ini berada di kelas tersendiri.

Liriknya pula berkisar tentang luahan rasa seseorang untuk seorang figura wanita yang selayaknya dicintai, dihargai dan diberi penghormatan tertinggi sebagai ratu hidupnya.

‘Ratu’ merupakan karya ciptaan bersama Faizal Tahir, Mike Chan dan Mage. ‘Ratu’ diterbitkan oleh syarikat rakaman milik Faizal sendiri iaitu Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.

Single ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 21 Jun 2019.

Kredit foto : Warner Music Malaysia