Fantasi Jadi Realiti Dengan Unicool Coolblog

Kebelakangan ini, terdapat pelbagai jenama teh bubble dan minuman smoothie dari luar negara yang memasuki pasaran Malaysia.

Kewujudan jenama-jenama tersebut yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan telah mewujudkan satu trend dalam kalangan pengguna yang berlumba-lumba untuk merasai keenakan kesemua perisa jenama yang ada di pasaran.

Situasi ini menjadikan teh bubble sebagai satu minuman trending di Malaysia pada masa ini.

Namun, dalam keghairahan semua orang untuk mencuba setiap jenama baharu tersebut, sudah pasti ada satu jenama yang menjadi pelopor kepada segmen minuman teh bubble dan smoothie di negara ini, iaitu Coolblog.

Jenama tempatan yang mula membuka cawangan pertama pada tahun 2008 itu telah melancarkan perisa baharu minuman mereka yang diberi nama Unicool.

Didatangkan dalam tiga perisa berbeza iaitu Unicool Magical,Unicool Dazzle dan Unicool Twinkle, siri minuman smoothie tersebut diinspirasikan daripada warna-warna pelangi, kisah dongeng, alam magis dan fantasi haiwan unicorn.

Dengan tema ‘Fantasi Jadi Realiti’, mesej utama kempen minuman Unicool adalah untuk menyajikan kepada pelanggan satu siri minuman perisa baharu yang menepati citarasa terkini, seiring dengan trend pasaran.

Ia dicetuskan daripada gabungan rasa keladi, strawberi dan blue coral.

“Fantasi Jadi Realiti diilhamkan daripada seekor haiwan yang popular dalam cerita dongeng barat iaitu unicorn.

“Figura haiwan dongeng yang sering dikaitkan dengam alam fantasi, kisah cinta dan magis ini berjaya dizahirkan dalam setiap siri Unicool iaitu Unicool Magical, Unicool Dazzle dan Unicool Twinkle melalui adunan perisa keladi, strawberi dan blue coral yang menghasilkan bukan sahaja nuansa rasa yang unik, malahan warna pastel yang menarik,” ujar Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Coolblog, Win Zakaria.

Tambahnya, menariknya kempen Unicool kali ini adalah terletak pada strategi Coolblog untuk mengetengahkan sesuatu yang berbeza kepada pelanggan.

“Kami sedar bahawa keputusan membeli pelanggan hari ini dipengaruhi oleh beberapa faktor dan salah satunya adalah faktor pengalaman menikmati minuman itu sendiri.

“Umum sedia maklum, harga yang kami tawarkan bagi setiap minuman adalah jauh lebih rendah berbanding jenama lain, maka sebab itu strategi kami bagi siri Unicool adalah dengan menawarkan pengalaman pengguna yang maksimum dalam setiap cawan Unicool,” katanya.

Minuman Unicool dijual pada harga RM7.50 bagi saiz 700ml dan telah pun mula berada di pasaran pada awal bulan Jun ini.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 300 cawangan Coolblog di seluruh negara dengan sasaran untuk membuka 15 cawangan baharu bagi sepanjang tahun 2019.

Lebih memberi fokus dalam membuka cawangan di kawasan-kawasan luar bandar sebelum ini, Coolblog kini turut merancang untuk membuka cawangan-cawangan baharu di stesen-stesen minyak dan kawasan rehat dan rawat di lebuh raya utama.

Foto: Coolblog Malaysia