Fatima Al-Fihri – induk universiti

Universiti Al-Qarawiyyin, Fes, Morocco © Alvaro German Vilela | Dreamstime.com

Islam sering digambarkan oleh media Barat sebagai mundur dan seksis. Kebanyakan media Barat hanya membuat laporan mengenai Islam yang berkait dengan keganasan dan terorisme. Mereka cuba membuat kita percaya bahawa dunia Barat adalah lambang tamadun manusia yang paling tinggi, sumber kepada hak asasi manusia, dan mempertahankan kebebasan. Ini adalah nada kuasa penjajah dan imperialis yang masih digunakan hari ini.

Gambaran masyarakat Islam yang dilukiskan begitu negatif, dan tidak hairanlah jika kita dianggap masyarakat yang buas dan tidak bertamadun. Pada hakikatnya, gambaran ini sama sekali tidak benar. Sejarah menunjukkan Islam merupakan sumber yang menerangi dan memajukan manusia. Sebagai contoh, di zaman Khalifah Abbasiyah (750-1258 Masihi dan 1261-1517 Masihi) masyarakat Islam begitu makmur. Kesusasteraan, pelbagai cabang sains, ilmu falsafah dan teologi Islam berkembang pesat. Sebahagian besar kebangkitan Eropah mendapat inspirasi dari ahli sains Islam ketika itu.

Malangnya fakta ini bukan sahaja tidak tertera di fikiran masyarakat bukan Islam, malah telah tersebar di kalangan orang Islam sendiri. Ini menimbulkan minda yang sering mengkritik diri sendiri yang sukar untuk dirasionalkan oleh masyarakat Islam amnya. Sebagai contoh, jika ditanya nama universiti tertua di dunia, mereka pasti akan membayangkan istana lama Eropah, yang mungkin terletak di England, Italy atau Jerman. Ini terlalu jauh dari kebenaran.

Fatima Al-Fihri merupakan gadis muda ketika beliau menubuhkan Universiti Al-Qarawiyyin di Fes, Maghribi (Morocco) pada tahun 859 Masihi. Universiti ini masih lagi berfungsi dan diiktiraf oleh institusi-institusi dunia, termasuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai universiti tertua di dunia yang masih lagi beroperasi hingga kini. Ia juga merupakan institusi pertama di dunia yang menganugerahkan ijazah. Ia memainkan peranan bukan sahaja dalam menubuhkan universiti sebagai pusat pengajian, bahkan ia membentuk sistem universiti yang masih digunakan hingga ke hari ini.

Kisah Al-Fihri pasti memberi inspirasi kepada semua. Beliau dilahirkan di Tunisia pada kurun ke 9 dalam keluarga kelas atasan dan mendapat pendidikan yang baik. Keluarganya berhijrah ke Fes ketika beliau masih kecil lagi untuk mencari peluang yang lebih baik. Mereka sungguh bertuah kerana menjadi pedagang yang berjaya. Ini membuka ruang untuk Fatima dan adiknya, Mariam untuk menerokai dunia Fes yang cukup gemilang. Ketika itu, Fes merupakan antara pusat ilmu dan budaya dunia Islam. Kedua-dua adik beradik itu mendapat pendedahan kepada  kesenian dan sains, dan pembelajaran tradisi agama yang mendalam.

Kematian ayah, suami dan abang Fatima dalam masa yang singkat membuat beliau terasa kehilangan. Ini mendorongnya mencari makna kehidupan. Beliau dan adiknya lalu pantas mendapat ilham. Dengan menggunakan harta peninggalan, mereka membuat keputusan untuk berbakti kepada masyarakat di mana mereka membesar. Penolakan dunia ini berpunca dari kepercayaan agama mereka yang mendalam.

Mereka juga mendapati Fes tidak mampu menanggung kedatangan pelarian yang ramai dari Sepanyol. Lantas mereka menggunakan harta mereka membina ruang yang dapat menampung pelarian dan juga penduduk asli Fes. Mariam membina Masjid Andalusia, masjid yang begitu indah dan masih wujud di Fes hingga hari ini. Seperti penduduk Fes seratus tahun dahulu, anda pasti akan terpesona dengan keindahan masjid ini.

Fatima pula membuat keputusan menyambung pelajarannya, sesuatu yang beliau cintai. Beliau terlibat dari mula lagi menguruskan pembangunan pusat masyarakat di mana setiap lapisan manusia dapat berkuliah. Tidak lama kemudian, madrasah ini berkembang menjadi universiti yang dinamakan Al-Qarawiyyin sempena tempat kelahiran Fatima.

Universiti beliau berkembang di zaman pertengahan Eropah yang sedang dalam kegelapan. Universiti ini menawarkan kuliah dalam pelbagai bidang dari teologi, berpidato, musik dan kesusasteraan. Ia merupakan universiti yang merangkumi semua. Pelajar bukan Islam turut datang berduyun-duyun menghadiri kuliah di Fes untuk mendapatkan ijazah dan pendidikan yang terbaik. Antara alumni yang terkemuka termasuk Ibnu Khaldun, ahli falsafah Yahudi Moses Maimonides, ahli diplomat dan pengembara Leo Africanus, dan Pope Sylvester II. Mereka juga turut mengembangkan pengaruh universiti ini.

Kepentingan universiti ini masih lagi ketara, sama seperti di zaman kegemilangan Islam. Perpustakaannya masih menyimpan banyak manuskrip Islam yang penting. Ia menjadi jambatan ilmu untuk pelbagai lapisan masyarakat. Sehingga kini, ia masih beroperasi dan merupakan sebahagian daripada sistem Universiti Morocco.

Jika anda menghadiri kuliah, atau membuat kajian di universiti, ingatlah ini semua tidak mungkin terjadi tanpa perintis wanita Arab ini. Fatima Al-Fihri dengan cintanya kepada ilmu bukan sahaja merupakan contoh wanita berpengaruh, malah beliau adalah anti-tesis gambaran dunia Barat terhadap wanita Islam. Beliau bukan sahaja model mithali, bahkan duta Islam. Kejayaan beliau perlu diraikan demi memastikan lembaran sejarah tidak melupakan sumbangan besar beliau kepada dunia.