Fatimah Az-Zahra, puteri Nabi yang dikasihi

Kepercayaan Abi Aasim 15-Mei-2020
Bergelar Ummu Abeeha © Leo Lintang | Dreamstime.com

Fatimah binti Muhammad r.a. lebih dikenali sebagai Fatimah Az-Zahra. Fatimah adalah puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dikasihi. Fatimah adalah zuriat hasil perkahwinan Baginda dengan Khadijah binti Khuwailid r.a.

Fatimah dilahirkan lima tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ketika tahun kelahiran Fatimah jugalah terjadinya peristiwa di mana Nabi telah menyelesaikan perbalahan ketua-ketua kabilah Quraisy. Perbalahan itu terjadi kerana ketua-ketua kabilah tidak dapat bersetuju siapa yang paling layak meletakkan batu Hajar Al-Aswad di Kaabah yang telah dibina kembali.

Setelah kematian ibunya, Khadijah, Fatimah telah mengambil tugas ibunya seperti memasak dan menyiapkan keperluan bapanya, Rasulullah SAW. Dari kecil lagi, Fatimah memang sudah pandai dan biasa hidup berdikari. Kerana itu Fatimah turut digelar sebagai Ummu Abeeha (ibu bagi ayahnya).

Setelah Fatimah meningkat dewasa, Rasulullah SAW telah menikahkan Fatimah dengan Saidina Ali bin Abi Talib r.a. Ramai pemuda lain yang masuk meminang Fatimah, termasuklah Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. Namun, cuma pinangan Ali yang diterima oleh Baginda.

Daripada perkahwinan Fatimah dan Ali inilah lahirnya Hassan r.a. dan Hussein r.a., cucu-cucu kesayangan Nabi. Fatimah dan Ali hidup dalam kesederhanaan. Walaupun begitu, Fatimah tidak pernah membenarkan pengemis dan orang yang kesusahan beredar dari rumahnya tanpa memberikan sesuatu. Begitulah mulianya peribadi Fatimah. Sanggup beliau bersusah untuk orang lain yang memerlukan pertolongan walaupun beliau sendiri selalu kelaparan.

Fatimah adalah model wanita solehah. Fatimahlah yang banyak menguruskan hal rumahtangga dan mendidik anak-anak di saat suaminya berjihad di jalan Allah. Fatimah mewarisi keperibadian ibunya, Khadijah. Sekalipun Fatimah tidak pernah menyakiti dan membebani suaminya. Beliau selalu tersenyum menyambut kepulangan suaminya.

Rasulullah SAW sangat sayangkan Fatimah dan tidak boleh lama berjauhan dengan puterinya. Tidak berapa lama selepas Fatimah bernikah dengan Ali, Rasulullah kembali memindahkan mereka berhampiran rumah Baginda. Kasih dan rindunya Rasulullah kepada Fatimah, sehinggakan Fatimah akan menjadi orang terakhir yang dijumpai Baginda sebelum bermusafir, dan orang pertama yang ditemui Baginda setelah pulang dari bermusafir.

Fatimah adalah satu-satunya zuriat Baginda yang masih hidup setelah kewafatan Baginda. Setelah enam bulan kewafatan Baginda, Fatimah telah meninggal dunia. Semoga peribadi dan ketabahan hidup Fatimah Az-Zahra ini menjadi pedoman dan ikutan kita.