Feebay.Co- Nafas Baru Kafe Tempatan

Adakah anda pengkopi tegar tetapi mencari tempat yang mempunyai kombinasi kopi specialty seperti latte dan makanan lauk melayu? Tidak kurang juga buat penggemar makanan enak yang menemui kesukaran untuk menjumpai kafe yang selesa untuk dijadikan tempat bekerja atau hang out tetapi menyediakan makanan dan minuman yang enak dan berporsi masuk akal.

Restoran Feebay. Co di pusat membeli-belah Avenue K menawarkan makanan masakan tradisitonal, barat, dan fusion serta pelbagai minuman yang istimewa.

 

Pengarah Eksekutif Feebay.Co, Encik Azri Jamaludin, berkata beliau berharap agar dapat memenuhi ruang di pasaran kafe yang biasanya tertumpu kepada makanan fusion dan pastri.

“Di Feebay.Co, kami menyediakan hidangan klasik pilihan masyarakat tempatan seperti nasi lemak, lempeng pisang, nasi ikan patin.

“Juga tidak ketinggalan beberapa hidangan istimewa Feebay.Co yang diinspirasikan dari Thailand dan Kanada seperti Chao Praya—ikan barramundi yang dihidangkan bersama kerabu epal, dan Mariposa Ave. iaitu hidangan ayam panggang bersalut serbuk roti dan berinti mentega bawang putih.

Memberi keutamaan kepada menu minuman seperti kopi, Feebay.Co juga turut menyediakan minuman kopi nitro, coklat dan teh hijau artisanal serta aneka jus segar. Selain itu, ada juga pelbagai minuman mocktail dan soda berperisa. Hampir kesemua produk adalah buatan tempatan. Majlis pelancaran Feebay.Co telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Tan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik.

“Reka bentuk dalaman Feebay.Co merupakan konsep moden dan dinamik. Fasiliti cawangan Avenue K ini dilengkapi dengan WiFi berkelajuan tinggi, ruang pelbagai guna, projektor berdefinisi tinggi dan banyak plug yang berdekatan dengan tempat duduk,” kata Encik Azri.

 

Di Feebay.Co Avenue K juga terdapat sebuah mural indah karya Encik Ahmed Iwaz Hamdy, seorang pelukis tempatan. Menurut Encik Azri, mural ini melambangkan perjalanan jenama Feebay.Co yang telah berkembang dari cawangan pertamanya sehingga kini.

Penceritaan mural berkenaan bermula dari kiri ke kanan, dan menggambarkan 3 struktur biru yang seakan-akan tersembunyi di antara bangunan pencakar langit ibu kota.

“Ia menggambarkan permulaan kami yang secara kecil-kecilan di Kota Damansara, kemudian ke Publika dan akhirnya di sini, di Avenue K. Rumah kampung itu juga sebagai simbol kerana kami menyediakan hidangan autentik tempatan,” katanya.

Cawangan Feebay.Co di Avenue K mampu memuatkan seramai 80 orang pada satu masa. Cawangan ini beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 10 malam. Pengalaman unik, kopi specialty yang diramu khas dan makanan enak khas Feebay.Co juga boleh didapati di Sunway Nexis Kota Damansara dan Galeri Membeli-belah Publika.