Fenomena gerhana matahari cincin di Malaysia hari ini

Uncategorized MAS 26-Dis-2019

Malaysia berpeluang menyaksikan gerhana matahari cincin atau anulus di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak hari ini. Fenomena alam yang jarang-jarang berlaku ini terjadi buat kali terakhir sekitar 21  tahun lalu. Kejadian tersebut direkodkan berlaku di Mersing, Johor pada 22 Ogos 1998.

Menurut Pengarah Planetarium Negara, fenomena tersebut hanya dapat diperhatikan di dua kawasan tersebut sahaja kali ini. Di Tanjung Piai, fenomena itu akan berlangsung pada jam 11.26 pagi untuk fasa pertama. Anulus (fasa empat) pula akan terhasil tepat jam 1.21 petang. Manakala di Serian bermula jam 11.49 pagi dan menghasilkan gerhana penuh pada jam 1.46 petang. Ini kerana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah betul-betul selari, tambah Anita Bahari.

Gerhana matahari cincin berlaku apabila bulan berada tepat di hadapan matahari, relatif kepada kedudukan bumi. Akibat saiznya yang lebih kecil, bulan tidak akan melitupi keseluruhan bentuk piring matahari. Oleh yang demikian, matahari akan kelihatan seperti cincin di dalam kawasan atau berhampiran kawasan laluan tengah gerhana ini.

Laluan gerhana cincin ini akan bermula dari Semenanjung Tanah Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka. Laluan seterusnya merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.

Menurut laman astronomi tempatan, Falak Online, gerhana matahari cincin boleh diperhatikan selama 2 minit 31 saat. Pemerhatian ini terpakai di Taman Negara Tanjung Piai, Johor. Selain daripada Tanjung Piai, seluruh Malaysia dan Brunei, serta sebahagian Singapura akan dapat menyaksikan gerhana matahari separa. Di kawasan tersebut, matahari akan lebih menyerupai bentuk bulan sabit dan bukannya seperti cincin ketika waktu puncak gerhana.

Dalam perkembangan berkaitan, kebanyakan masjid dan surau mengadakan majlis solat sunat gerhana di seluruh negara. Planetarium Negara dengan kerjasama Masjid Negara turut mengadakan majlis serupa solat sunat khusuf itu secara berjemaah. Solat akan diimamkan Ustaz Muhammad Afif Jamal di ruang legar Planetarium Negara pada pukul 11.30 pagi.