Fesyen Modest Kian Menguasai Pasaran Fesyen Dunia

Industri fesyen semakin hari semakin berkembang pesat. Sebagaimana teknologi, begitu juga dengan arus fesyen. Saban musim pasti akan muncul stail terbaharu.

Kebelakangan ini, fesyen muslimah atau fesyen modest yang membawa maksud sopan atau sederhana semakin mendapat perhatian rumah fesyen antarabangsa.

Malah kini lebih ramai model berhijab digunakan untuk berjalan di pentas petunjukan fesyen mahupun menghiasi kempen jenama-jenama terkenal dunia seperti Halima Aden, Amina Adan, Ugbad Abdi dan Ikram Abdi Omar.



Jenama-jenama fesyen antarabangsa seperti Dolce&Gabbana, Marc Jacobs, Gucci dan DKNY misalannya, sudah mula mereka pakaian yang khusus untuk golongan Muslim seperti abaya, hijab dan juga turban.

Dikhabarkan bahawa pasaran fesyen modest dunia kini mencecah ratusan billion dollar dan ia dijangka akan terus meningkat dengan pesat untuk lima tahun akan datang. Carian gambar popular Pinterest UK juga melaporkan bahawa carian untuk gambar fesyen modest meningkat sehingga 500 % pada tahun lalu.

Menurut Laporan Ekonomi Islam Global 2016/17, wang yang dibelanjakan oleh pengguna fesyen Muslim di seluruh dunia dianggarkan bakal mencapai $368 bilion menjelang tahun 2021. Ini berikutan peningkatan bilangan wanita Muslim milenium atau Generasi M yang mempunyai jumlah pendapatan yang lebih besar kerana kebanyakan mereka kini bekerja hanya dari rumah sahaja.

Di Malaysia, fesyen muslimah semakin rancak mendominasi pasaran fesyen tanah air. Kebanjiran jenama tudung serta pakaian muslimah sudah cukup membuktikan bahawa ia kini sedang menguasai industri fesyen tanah air.

Jenama seperti Naelofar Hijab, Duck Scarves, Ariani dan Bawal Exclusive sudah mengaut jutaan ringgit kerana semakin hari, semakin ramai wanita memilih untuk berhijab.

Para selebriti tempatan juga semakin ramai yang mula memakai hijab. Malah gaya mereka inilah yang sering dijadikan rujukan para hijabi di Malaysia.

Neelofa, Yuna, Datin Vivy Yusoff, Hanis Zalikha, Elfira Loy dan Ziana Zain antara selebriti yang bijak mengatur gaya mereka biarpun berhijab. Neelofa juga berjaya mengikat kontrak dengan jenama mega antarabangsa seperti Lancome dan Swarovski untuk menjadi wajah wakilan jenama mereka.

Social media influencer dikalangan wanita berhijab juga semakin menimbun bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Berbekalkan wajah yang menarik serta arif dalam teknik solekan semasa serta penggayaan hijab, mereka kini mampu menjana pendapatan sendiri dengan membuat review di akaun media sosial masing-masing selain dijemput untuk menghadiri majlis-majlis sekitar ibu kota dan luar negara.

Jika trend ini berterusan, tidak mustahil satu hari nanti fesyen modest bakal mengusai pasaran fesyen dunia. Namun bersediakah kita dalam menerima trend dan stail terbaru untuk masa akan datang?

 

Sumber Foto : Instagram