Fitrah kurniaan Allah SWT – galakkan perkahwinan

Masyarakat Hanita Hassan 12-Nov-2020
dreamstime_s_28449281
Fitrah kurniaan Allah SWT - galakkan perkahwinan © Ariffruslan | Dreamstime.com

Salah satu fitrah kurniaan Allah SWT dalam diri setiap insan ialah keinginan memiliki pasangan dan nafsu syahwat (keberahian) terhadap pasangan.  Kita dilarang menolak fitrah ini.

Apabila kita telah berkemampuan dari segi fizikal, material, agama dan kerohanian, selayaknya untuk kita hidup berkeluarga, berkasih sayang serta tempat untuk meluahkan perasaan.

Fitrah kurniaan Allah SWT

Perkahwinan dan hidup berkeluarga adalah fitrah yang dikurniakan Allah SWT sejak zaman Nabi Adam a.s.  Ia bukan sahaja merupakan titik kesempurnaan dalam agama tetapi yang paling utama rahmat dan tanda kekuasaan Allah.

Kita dapat membina keluarga, melahirkan zuriat serta meramaikan bilangan umat Islam.  Rasulullah SAW berbangga dengan jumlah umatnya yang ramai. Sepertimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada hari Akhirat nanti.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

Islam tidak menggalakkan kita untuk berkahwin lewat tanpa alasan.  Kecuali jika kita tidak berkemampuan atau tidak bertemu jodoh.  Walau bagaimanapun, kita hendaklah terus berusaha dan menggalakkan sesiapa sahaja untuk berkahwin.

Ini termasuklah ahli keluarga, sahabat handai, anak saudara dan rakan sepejabat yang masih terlajak bujang. Atau yang belum memiliki isteri, suami serta golongan remaja dan belia untuk berkahwin dan membina keluarga.

Kempen secara besar-besaran melalui media sama ada media sosial mahupun media tradisional seperti akhbar dan televisyen tentang betapa banyaknya kebaikan berkahwin perlu dilakukan oleh segenap masyarakat termasuk mereka yang bertanggungjawab tentang hal ehwal agama.

Kita bukan sahaja dapat mengelakkan maksiat daripada berleluasa, kita juga dapat membina institusi sosial dan masyarakat yang sempurna. Perkembangan manusia akan berlaku dengan baik mengikut kaedah syariat Islam, menjaga kehormatan manusia, kesucian zuriat, keturunan yang mulia dan terjalin kasih sayang.

Kahwin lewat beri implikasi negatif kepada institusi keluarga

Kajian saintifik dan perubatan mendapati perkahwinan lewat boleh mengganggu kesihatan dan kesuburan seseorang.  Ia boleh menyumbang kepada masalah melahirkan zuriat yang ramai dan sihat.

Beberapa tahun lalu, gempar tentang seorang lelaki di Kelantan yang mengahwini kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiga.  Polemik ini dibahaskan pelbagai pihak dan mendapat perhatian kerajaan.

Isu perkahwinan hakikatnya sering menjadi tarikan masyarakat termasuklah kahwin lewat khususnya wanita.  Hari ini lelaki juga semakin ramai yang masih membujang mungkin disebabkan gaya dan cara hidup.

Kajian mendapati individu bujang dalam usia sekitar 25 hingga 49 tahun di negara ini berhasrat mendirikan rumah tangga. Namun kebanyakan alasan adalah disebabkan faktor kewangan, kos sara hidup yang semakin tinggi selain masih memilih pasangan yang serasi.

Dari aspek kos majlis persandingan, perbelanjaan minimum sahaja sudah melebihi RM20,000 sedangkan kemampuan respondan hanya sekitar RM14,000.  Ia juga antara sebab ramai yang masih menangguhkan hasrat untuk membina mahligai bahagia sehingga hubungan dengan pasangan terputus di tengah jalan.

Kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati kahwin lewat memberi implikasi negatif terhadap institusi kekeluargaan.  Kadar kesuburan akan menurun dan merencatkan pembangunan sosio ekonomi negara.  Ia juga akan mempercepatkan Malaysia menjadi negara tua.

Bagi pasangan yang telah merancang perkahwinan, segeralah melaksanakannya.  Perkara yang elok usah ditangguh.  Selamat mendirikan rumah tangga bahagia.  Semoga kekal hingga ke Syurga.