Formula 6T, menjadi isteri solehah

dreamstime_s_55612000
Formula 6T, menjadi isteri solehah © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Ramai jejaka mengimpikan isteri solehah untuk dikahwini, malah ramai juga wanita yang mengimpikan dirinya menjadi menjadi isteri solehah supaya nanti dirinya akan mendampingi lelaki yang soleh.

Daripada Imam Ahmad dan Imam Muslim, daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bermula dunia ini ialah kesukaan dan keseronokan dan sebaik-baik kesukaan itu adalah wanita yang solehah.”

Formula 6T, menjadi isteri solehah

Formula terbaik untuk menjadi isteri solehah, adalah seperti yang dinyatakan Allah SWT dalam ayat ke lima, surah at-Tahriim:

“Boleh jadi, jika Nabi menceraikan kamu, Tuhannya akan menggantikan baginya isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu – yang menurut perintah, yang ikhlas imannya, yang taat, yang bertaubat, yang tetap beribadat, yang berpuasa, – (meliputi) yang janda dan yang anak dara.”

  • Muslimaat – Isteri-isteri yang berserah kepada Allah SWT serta patuh kepada suaminya. Patuh terhadap suami di sini bukanlah bermakna kepatuhan mutlak, tetapi patuh pada perkara yang bukan maksiat. Kepatuhan mutlak hanyalah pada Allah dan Rasul
  • Mu’minaat – Isteri-isteri yang beriman kepada Allah SWT
  • Qaanitaat – Isteri-isteri yang ta’at kepada Allah SWT
  • Taaibaat – Isteri-isteri yang sentiasa berusaha bertaubat dan kembali kepada Allah SWT bila tersalah. Setiap manusia melakukan kesalahan, dan sebaik-baik manusia ialah yang sentiasa bertaubat
  • Aabidaat – Isteri-isteri yang teguh beribadah kepada Allah SWT. Isteri yang melaksanakan ibadah mereka dengan penuh rasa ubudiyah (kehambaan)
  • Saaihaat – Isteri-isteri yang merenung keindahan ciptaan Allah SWT dan meningkatkan keimanan mereka kepada Allah

Mendidik diri menjadi isteri solehah

Enam ciri ini merupakan antara formula mendidik diri untuk menjadi isteri solehah. Keenam-enam ciri ini disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat ini menggambarkan isteri yang solehah ialah isteri yang mempunyai enam sifat ini, beriman, taat, sentiasa kembali ke jalan yang benar, sentiasa beribadah, dan sentiasa berfikir merenung ciptaan tuhan untuk menambah keyakinan dan keimanan kepada Allah.

Bersamalah kita mendidik diri kita, anak kita, isteri kita untuk menjadi hamba yang mempunyai enam sifat mulia ini. Persiapkanlah diri menjadi baik, dan pohonlah kepada Allah SWT supaya mengurniakan dirimu pasangan yang juga baik. Sentiasa berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Allah di dalam al-Quran:

“Dan orang-orang yang berkata, Ya Tuhan kami, anugerahkan lah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Furqan, ayat 74)

Selamat beramal!