Gajah mati keracunan di Lahad Datu

Uncategorized MAS 10-Dis-2019

Seekor gajah ditemui mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Perpaduan Skim Begahak, Jalan Tungku semalam. Punca kematian disyaki akibat keracunan.

Pasukan pegawai veterinar diketuai Dr Bong Ai Yin telah menjalankan bedah siasat ke atas bangkai gajah betina berkenaan. Sampel juga telah diambil untuk ujian makmal Jabatan Kimia.

Gajah berkenaan berumur kira-kira 20-25 tahun dan mati antara enam ke lapan jam sebelum dijumpai. Kesan tapak kaki gajah lain dipercayai kumpulan gajah betina itu dikesan mengelilingi bangkai gajah bagaikan melindungi gajah terbabit.

Kes ini merupakan yang kelima dalam tempoh empat bulan selepas kes-kes kematian gajah di Kalabakan, Beluran dan Kinabatangan.