Gambaran akhlak Muslim: adab berbicara dalam Islam

dreamstime_s_179933523
Gambaran akhlak Muslim: adab berbicara dalam Islam © Ellinnur Bakarudin | Dreamstime.com

Sudah menjadi lumrah manusia, komunikasi dan berbicara itu merupakan satu perkara yang perlu dilakukan. Celik sahaja mata, pastinya mulut manusia mula bersuara. Cuba bayangkan jika terpaksa melalui seharian tanpa peluang berbicara dengan sesiapa? Pasti runsing juga jadinya.

Pepatah Melayu merakamkan beberapa perkara berkaitan dengan tutur bicara, antaranya ialah:

  • Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya
  • Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa

Berbicaralah dengan baik atau diam

Ternyata silap percaturan dalam berbicara boleh mengundang seribu satu masalah kepada tuan punya badan. Islam telah menggariskan beberapa garis panduan agar pengamalnya dapat berbicara dengan baik dan penuh berhemah sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berbicaralah dengan baik atau diam.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Namun memang sukar untuk mengawal kata-kata yang keluar daripada mulut. Tambahan pula zaman kini yang penuh dengan pengaruh media sosial, bukan hanya sekadar bicara di mulut, malah bicara di media sosial. Begitu ramai orang yang memberi komen, pandangan terhadap sesuatu hantaran dengan cepat.

Kadang-kala komen yang diberikan bersifat provokatif, menghina dan mengeji sehingga menjatuhkan maruah dan kredibiliti sesetengah pihak. Betul juga kata-kata yang yang menyebut mata pena lebih tajam daripada mata pedang.

Marilah mulai saat ini kita tanamkan adab-adab yang sopan ketika berbicara. Tidak kisahlah sama ada berbicara secara berhadapan ataupun melalui media sosial. Bercakaplah benar ketika berbicara. Bercakap haruslah berlandaskan fakta yang benar. Begitu juga ketika berhujah, usah kita menegakkan benang yang basah.

Tutur bicara yang sopan, akhlak Muslim yang baik

Berbicaralah dengan kata-kata yang baik. Rakyat Malaysia khususnya memang dikenali dengan sifat bersopan santun dan peramah. Oleh itu kekalkanlah ciri-ciri yang sama ketika berbicara. Lihat sahaja contoh yang ditunjukkan ikon pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang sentiasa tersenyum dan lembut serta tenang ketika berbicara.

Kurangkan bercakap atau diam jika kita tidak tahu mengenai sesuatu perkara atau tidak pasti mengenai sesuatu perkara. Zaman penuh teknologi ini, ramai yang begitu mudah menyebarkan sesuatu berita tanpa memastikan maklumat yang disampaikan itu benar atau tidak.

Soal tutur bicara yang baik ini seharusnya bermula dari rumah. Ibu bapa harus mencorakkan ciri-ciri tutur bicara yang sopan dalam diri anak-anak. Budi bicara yang sopan juga menggambarkan akhlak seorang Muslim yang baik.

Menerusi surah Luqman dalam al-Quran, diceritakan pesan Luqmanul Hakim kepada anaknya. Mesejnya tentang bercakap dengan lembah lembut, sopan, dan melarang penggunaan bahasa kesat dan kasar.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya:

“Juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

(Surah Luqman 31, ayat 19)