Gandakan amalan Ramadan, bulan berkat penuh sejarah

Kepercayaan Hanita Hassan 05-Mei-2020
Pelbagai ibadah di bulan Ramadan © Yunusmalik | Dreamstime.com

Perintah Allah SWT kepada umat Islam untuk melakukan amalan  berpuasa adalah pada bulan Ramadan.  Ia berlaku pada tahun kedua hijrah.  Ia juga adalah bulan untuk meraikan kemuliaan dan keagungan al-Quran.

Meskipun setahun sekali hadirnya, ia sangat istimewa.  Anda digalakkan menggunakan kesempatan ini untuk meningkatkan amalan ibadah. Jika hari-hari biasa, anda tidak berkesempatan untuk membaca al-Quran, gunakan peluang duduk di rumah ini dengan melakukan tadarus dan khatam al-Quran bersama keluarga.

Amalan sedekah juga amat digalakkan. Salah satu sedekah yang dianjurkan ialah   memberi makan kepada orang yang berpuasa. Selain itu, anda juga boleh berdakwah dengan menyebarkan kebaikan kepada orang lain, bertaubat, membayar zakat dan melakukan umrah.

Amalan solat tarawih yang merupakan ibadah khas yang hanya berlaku pada bulan Ramadan hendaklah dilakukan setiap malam.  Ini kerana pahalanya juga berlipat ganda. Begitu juga dengan amalan berzikir dan berdoa.  Kedua-dua amalan ini boleh dibuat pada waktu siang dan malam.

Solat lima waktu yang difardhukan ke atas umat Islam hendaklah dilakukan di awal waktu.  Anda bukan sahaja mendapat ganjaran yang besar tetapi juga satu rakaat solat fardhu di bulan Ramadan pahalanya lebih besar dibandingkan seribu rakaat di bulan lain.

Banyak peristiwa besar yang berlaku dalam  bulan Ramadan.  Ini termasuklah penurunan al-Quran, iaitu kitab yang mengandungi petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk tersebut, dan pembeza antara yang hak dan yang bathil.

Peperangan Badar juga berlaku pada bulan Ramadan.  Meskipun tentera Islam berpuasa dan terpaksa menghadapi tentera musuh yang ramai, namun mereka cekal dan tidak gentar apabila berhadapan dengan pihak musuh.

Selain itu, 10 Ramadan tahun keenam hijrah adalah tarikh pembukaan Kota Mekah (Fath Makkah). Juga peristiwa perjalanan Nabi SAW ke Tabuk, Islam sampai ke Yaman, Khalid al Walid meruntuhkan berhala al uzza, penyerahan kota Thaif dan pembukaan kota Andalusia (Sepanyol).

Allah SWT telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam al-Qadr (Lailatul Qadr).  Setiap hamba-Nya yang melakukan amal soleh diberikan pahala mengikut kehendak-Nya tanpa terikat kepada apa-apa peraturan.

“Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepada-Nya lah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepada-Nya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”  (Surah Hud: 123)

Rasulullah SAW mempergiatkan amal ibadah pada 10 malam terakhir bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.  Nabi SAW iktikaf di masjid, membaca al-Quran, bersedekah, zikir, melakukan solat sunat duha, solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.  Dikatakan Saidina Umar juga sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar.

Semoga amalan baik yang dilakukan sepanjang Ramadan dapat meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT.