Dua Garis Biru Ambil Masa 9 Tahun Untuk Ditulis

Nama Gina S. Noer memang tidak asing lagi di Indonesia, beliau dikenali sebagai penulis dan penerbit filem pecah panggung berjudul ‘Keluarga Cemara’.

Kini Gina hadir dengan naskhah terbaru, sebuah filem berjudul Dua Garis Biru. Difahamkan, Gina mengambil masa 9 tahun untuk menulis filem yang mengisahkan tentang perjalanan hidup dan percintaan seorang gadis remaja bernama Dara lakonan Zara JKT48 dan Bima lakonan Angga Yunanda.

Sebagai pengarah, Gina memberitahu plot penceritaan Dua Garis Biru memberikan nilai sentimental kepada dirinya.

“Filem ini memberikan nilai sentimental buat saya kerana penceritaan filem ini berkembang seiring dengan peranan saya sebagai seorang wanita dan ibu yang mempunyai anak dua. Malah, peranan sebagai pengarah telah memberikan saya satu pembelajaran dan pengalaman yang baharu.”

“Jika sebelum ini saya hanya menulis dan hasil tulisan saya diarahkan oleh orang lain, tetapi untuk Dua Garis Biru, saya menulis dan menterjemahkan naskah itu ke layar perak. Kesempatan ini bagaikan  ‘Masterclass’ buat saya yang telah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia perfileman.”

Saya berharap peminat filem di Malaysia boleh menerima filem ini dengan baik dan mudahan-mudahan ia Berjaya meraih kutipan yang memberangsangkan. Dua Garis Biru mengangkat isu yang bukan remeh dan ia perlu diberi perhatian supaya situasinya tidak menjadi semakin parah,” ujar Gina.

Dua Garis Biru menekankan tentang persefahaman dan kejujuran dalam perhubungan. Selain itu, ia juga memberi banyak mesej tentang perhubungan keluarga, masalah sosial dan juga pendidikan seks di kalangan pelajar sekolah.

Filem yang telah memenangi hati ramai penonton di Indonesia ini turut dibintangi oleh Cut Mini, Arswendy Bening Swara, Dwi Sason, Lulu Tobing, Rachel Amanda, Maisha Kanna, Shakira Jasmine, Ligwina Hananto, Cindy JKT48, Ariel JKT48, Irgi Fahrezi, Rahma Alia, Asri Welas dan Bintan Emon.

Dua Garis Biru bakal memasuki pawagam di Malaysia bermula 3 Oktober hadapan. Filem terbitan Starvision dan Wahana Kreator ini dibawakan ke Malaysia oleh Suraya Filem Production & Distribution (M) Sdn. Bhd.

Astro Shaw telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pemasaran dan promosi filem ini. Sementara itu TGV Pictures bertanggungjawab dalam menguruskan pengedaran filem di pawagam.