Gawai Dayak dan Tadau Kaamatan

Budaya Hanita Hassan 04-Jun-2020
Muzik tradisional Bidayuh sempena Hari Gawai © iportret | Dreamstime.com

Sambutan Gawai Dayak dan Tadau Kaamatan disambut setiap tahun oleh dua kaum di Malaysia.  Kaum Dayak dari Sarawak dan Kadazan-Dusun dari Sabah.  Ia sebagai tanda kesyukuran selepas berakhirnya musim menuai.

Tadau Kaamatan biasanya diadakan selama dua malam berturut-turut selepas selesai menuai padi.  Malam pertama diadakan upacara magayau atau pemujaan semangat padi diketuai oleh Bobohigan serta beberapa pembantunya. Pada malam kedua diadakan upacara habot di mana beras yang diperam diberi kepada Bobohigan sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran.

Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau.  Tarian ini ditarikan oleh pasangan lelaki dan wanita lengkap dengan pakaian tradisional.  Paluan gong mengiringi tarian dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung.

Hari Gawai atau lebih dikenali sebagai Ari Gawai dalam bahasa Iban dan Andu Gawai dalam bahasa Bidayuh.  Ia diraikan bagi merayakan sesuatu. Hasil pemburuan, kelahiran, tanah baharu, menuai padi dan sebagainya. Ia juga sebagai tanda kesyukuran di atas keberkatan serta nikmat yang dilimpahkan oleh Tuhan sepanjang tahun.

Jika dahulu, masyarakat Dayak bergantung kepada hasil tanaman seperti padi, buah-buahan dan sayur-sayuran. Oleh itu, adanya sambutan ini untuk meraikan segala hasil usaha dan kerja keras mereka.

Sambutan ini juga dilihat sebagai permulaan baharu bagi masyarakat Dayak, tidak kira dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan, sama ada perancangan, pekerjaan mahupun perjalanan.

Biasanya kaum keluarga dan sanak saudara akan pulang ke rumah panjang bertemu ahli keluarga yang lain untuk meraikan sambutan Gawai Dayak. Inilah masa terbaik untuk mengeratkan hubungan, berkenalan, bertanya khabar dengan sanak saudara yang lain dan mengenali susur-galur keluarga dengan lebih mendalam.

Malaysia meraikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya.  Rakyatnya hidup harmoni, aman dan damai. Kepelbagaian ini adalah  unik dan menjadi kebanggaan. Keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”  (Al-Hujuraat 49, ayat 13)

Islam bukan sahaja mengajar kita sebagai umatnya memperkukuh hubungan manusia dan Allah SWT, tetapi juga hubungan sesama manusia dan makhluk-makhluk lain.  Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah pada 622 Masehi adalah era baharu kepada penduduk Madinah.

Kaum Ansar, Muhajirin dan Yahudi  dapat hidup dalam kepelbagaian agama, bangsa dan kaum dengan aman, selamat serta harmoni.  Model komuniti yang diasaskan oleh Rasulullah SAW ini kemudian menjadi ikutan dan contoh teladan sehingga ke hari ini.  Semoga Islam terus kukuh menjadi pegangan kita.